Malaysia akan menuntut lebih RM11 bil (US$2.7 bil) dari Goldman Sachs.

Melalui sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas menyatakan bahawa bank pelaburan (Investment Bank) Amerika Syarikat itu telah melanggar beberapa undang-undang negara.

"Skim penipuan mereka (Goldman Sachs) melanggar undang-undang Malaysia, terutamanya Seksyen 179 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007," kata Tommy.

"Skim mereka direka dan digubah oleh yang tertuduh untuk menstruktur bon-bon secara penipuan, kononnya untuk tujuan sah, sedangkan mereka tahu bahawa hasil daripadanya akan digelapkan dan dilencongkan bagi menipu kerajaan," tambah beliau lagi.

Pertuduhan ini berbangkit daripada perlakuan dan persubahatan yang dilakukan oleh bekas-bekas pegawai Goldman Sachs iaitu Tim Leissnes, Roger Ng, Jasmine Loo, dan Jho Low, antara yang lain.

Bon yang dimaksudkan oleh Peguam Negara adalah tiga:

* Bon pertama terbitan US$1.75 bilion oleh 1MDB Energy Limited, melalui Pekeliling Tawaran bertarikh 18 Mei 2012, dengan kadar 5.99 peratus setahun dan boleh ditebus pada 2022.

* Bon kedua merupakan US$1.75 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Limited menerusi Memorandum Penempatan Tertutup 17 Oktober 2012, dengan kadar faedah 5.75 peratus dan boleh ditebus pada 2022.

* Bon ketiga yang dimaksudkan pula adalah bon US$3 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB Global Investments Limited menerusi Pekeliling Tawaran bertarikh 16 Mac 2013, dengan kadar faedah 4.4 peratus setahun dan boleh ditebus pada 2023.


Tim Leissner telah mengaku bersalah atas beberapa tuduhan yang berkaitan dengan penipuan 1MDB sementara Roger Ng telah ditahan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sedang menunggu arahan untuk diekstradisi ke Amerika Syarikat.

Sementara Jasmine Loo, Jho Low, dan beberapa orang lain telah didakwa di mahkamah, tetapi lokasi mereka masih tidak diketahui dan polis sedang memburu mereka.

"Penipuan mereka telah menjejaskan pasaran modal negara ini, dan sekiranya tiada tindakan undang-undang diambil, perlakuan mereka yang melemahkan sistem kewangan akan lepas tanpa sebarang hukuman.

"Mereka telah jatuh jauh dari sebarang standard, akibatnya mereka hendaklah bertanggungjawab," kata Tommy lagi.