Tutup

Malaysia bebas penyakit African Swine Fever, pemeriksaan ketat diteruskan

Malaysia bebas penyakit African Swine Fever, pemeriksaan ketat diteruskan
Sim berkata penumpang yang datang khususnya dari China, Hong Kong, Macau, Vietnam, Kemboja dan Laos akan diperiksa dengan lebih teliti supaya kemasukan daging dan produk khinzir dapat dihalang. -Gambar fail
SEPANG: Pemeriksaan ketat di pintu masuk negara untuk mengesan kemasukan daging dan produk khinzir diteruskan walaupun Malaysia masih bebas daripada penyakit African Swine Fever (ASF), kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin.

Beliau berkata pemeriksaan terhadap kemasukan daging dan produk khinzir dari negara berisiko ASF dijalankan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di pintu masuk utama negara sejak 12 Nov tahun lepas.
"Kerajaan amat serius menjaga biosekuriti dan keselamatan makanan kerana kita tidak mahu virus atau serangga dibawa masuk kerana ia akan merosakkan industri tanaman atau ternakan serta menjejaskan ekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pemeriksaan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Sim berkata penumpang yang datang khususnya dari China, Hong Kong, Macau, Vietnam, Kemboja dan Laos akan diperiksa dengan lebih teliti supaya kemasukan daging dan produk khinzir dapat dihalang.
Menurutnya, ASF jika tidak dicegah boleh menjejaskan industri penternakan khinzir negara yang bernilai kira-kira RM5 bilion.

ASF adalah penyakit haiwan yang boleh menyebabkan kematian hampir 100 peratus khinzir dan khinzir liar. Sehingga 20 Jun tahun ini, enam wabak ASF telah dilaporkan di Asia iaitu China, Mongolia, Vietnam, Kemboja, Korea Utara dan Laos.

Menurut Sim, secara umumnya, penumpang kapal terbang tidak boleh membawa masuk apa-apa produk berasaskan haiwan, tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan namun kerajaan tidak mahu mengambil tindakan punitif kerana Malaysia adalah destinasi pelancongan mesra.

"Kita harap kapal terbang buat pengumuman dalam pesawat khususnya dari negara yang dijangkiti penyakit ASF untuk memaklumkan kepada penumpang supaya daging dan produk khinzir harus dilupuskan bagi mengelakkan kesesakan di laluan kastam," katanya.

Menurutnya, tindakan mengimport barangan tanpa permit sah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Sim, sejumlah 1,667.6 kilogram daging khinzir dan 1,508.18 kilogram produk khinzir telah dirampas dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini yang mana barangan yang dirampas itu akan dibakar atau ditanam mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sim berkata satu mesyuarat antara kementerian yang terlibat akan diadakan minggu hadapan bagi memastikan semua agensi meningkatkan aktiviti pencegahan ASF.

"Siri kesedaran mengenai ASF akan diteruskan dengan bertemu pengusaha dan penternak khinzir di seluruh negara supaya biosekuriti ladang dapat dipertingkatkan dan bagaimana untuk hadapi ASF jika dikesan," katanya.

Beliau berkata usaha pencegahan khususnya di terminal pelayaran dan pelabuhan juga akan diperhebatkan.

-- BERNAMA