Malaysia masih belum bersedia melaksanakan proses meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana ia dilihat mengkompromi 'masyarakat yang terpinggir'.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Mohd Redzuan Md Yusof berkata, negara ini mempunyai perlembagaan, perjanjian (antara kaum) dan berada di bawah demografi politik dari segi pembahagian penduduk.

"ICERD mengkompromi masyarakat yang terpinggir. Masyarakat yang terpinggir ni 70 peratus jadi adakah kita nak bawa ICERD untuk masyarakat yang 30 peratus? Itu tidak kena pada pendapat saya.

"Kalau ICERD boleh menguntungkan penduduk majoriti saya sokong tetapi kita lihat (masyarakat) yang terpinggir 70 peratus jadi ICERD belum sedia kita nak terima," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyatan Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Selasa, bahawa Armada akan menolak proses untuk meratifikasi ICERD sekiranya ia melemahkan atau menghakis fungsi dan kesan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, sistem Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam, dan mana-mana hak termaktub dalam perlembagaan itu.

Mohd Redzuan bagaimanapun tidak mengulas lanjut maksud 'masyarakat terpinggir'.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilapor berkata rundingan melibatkan semua kaum akan dilakukan sebelum meratifikasi ICERD dan mengakui ia bukan perkara mudah memandangkan Malaysia merupakan negara dengan penduduk berbilang kaum dan masing-masing dengan kepentingan tertentu.

-- BERNAMA