Malaysia amat bimbang terhadap keselamatan semua aktivis, termasuk Dr Mohd Afandi Salleh dari Humanitarian Care Malaysia (MyCare), selepas kapal Freedom Flotilla yang membawa bekalan ubat-ubatan untuk rakyat Palestin di Gaza dipintas oleh tentera Israel Ahad lalu.

Kementerian Luar, dalam satu kenyataan pada Isnin, berkata pihak berkuasa Israel perlu memastikan kebajikan dan keselamatan mereka di atas kapal Al-Awda tersebut.

Malaysia turut menggesa supaya mereka dibebaskan segera.

Menurut kenyataan itu, Kedutaan Malaysia di Kaherah sedang memantau keadaan dari dekat dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Palestin bagi mengusahakan pembebasan Dr Mohd Afandi.

Kapal tersebut yang melakukan misi damai di bawah Freedom Flotilla Coalition membawa 22 orang dari pelbagai negara.

BACA: Kapal Al-Awda sah ditawan Israel

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa masyarakat antarabangsa menyertai Malaysia dalam mengutuk tindakan Israel dan menggesa dihentikan sekatan di Gaza.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata sekatan di Gaza itu perlu dihentikan segera dan rakyat Palestin dibenarkan bergerak bebas. -- Bernama