Tutup

Malaysia, China mahu pertingkat kerjasama tangani jenayah siber

Malaysia, China mahu pertingkat kerjasama tangani jenayah siber
MUHYIDDIN: Dalam perbincangan tadi, kita minta supaya Malaysia dan China bekerjasama untuk mengekang perkara ini (jenayah siber) yang memerlukan inisiatf dan langkah-langkah tertentu. - Gambar fail/Astro AWANI
BANGKOK: Malaysia dan China mahu mempertingkatkan kerjasama untuk menangani jenayah siber rentas sempadan yang semakin berleluasa dan membimbangkan.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerjasama dua hala untuk membendung jenayah bukan tradisional penting untuk mengurangkan kerugian.

"Dalam perbincangan tadi, kita minta supaya Malaysia dan China bekerjasama untuk mengekang perkara ini (jenayah siber) yang memerlukan inisiatf dan langkah-langkah tertentu," katanya kepada Bernama.

Sebelum itu, Muhyiddin telah mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Menteri Keselamatan Awam China Wang Xiaohong di luar sesi Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-13 (AMMTC) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Bangkok.
Antara isu yang dibangkit dalam pertemuan itu termasuk kerjasama dua hala khususnya dalam menangani penipuan dalam talian, judi haram dan scam.

Baru-baru ini, Jabatan Imigresen Malaysia menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang berpusat di China dan menahan 680 warga China yang menjalankan operasi aktiviti berkenaan di Cyberjaya.
Sindiket yang beroperasi sejak enam bulan lepas itu menjalankan aktiviti penipuan yang menyasar penduduk China sebagai mangsa.

Sementara itu, Muhyiddin juga mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Vietnam, Menteri Keselamatan Awam To Lam.

Beliau berkata Malaysia dan Vietnam akan bekerjasama untuk menangani isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia.

"Saya telah membangkitkan soal pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dan meminta bantuan dan kerjasama agar perkara ini dapat dikekang atau dihapuskan.

"Isu ini merupakan satu isu besar di Malaysia. Beberapa operasi telah dilancarkan dan ramai nelayan Vietnam telah ditangkap tetapi isu ini masih berterusan. Sehubungan itu, kita minta kerjasama Vietnam agar perkara ini dapat ditangani," katanya.

Selain itu, Muhyiddin mahu penubuhan kumpulan kerja bersama Malaysia dan Vietnam dapat dipercepatkan agar agenda penting khususnya dalam bidang keselamatan dan jenayah rentas sempadan dapat diuruskan dengan lebih terancang.

Sementara itu, Muhyiddin berkata AMTCC merupakan satu platform yang penting untuk menangani jenayah tradisional dan bukan tradisional secara positif dan berkesan.

"Tiada sebuah negara dapat menyelesaikan jenayah secara bersendirian kerana ia tidak hanya berlaku di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

"ASEAN dan tiga rakan dialog - China, Jepun dan Korea Selatan akan mempergiatkan kerjasama untuk menangani jenayah rentas sempadan. Kita memerlukan kerjasama rapat.

"Kita memerlukan langkah-langkah susulan dalam pelbagai bentuk agar dapat bersama menghadapi isu besar secara bersama," katanya.

-- BERNAMA


Tag: Malaysia, China, jenayah siber, kerjasama, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.