Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Malaysia cipta sejarah, mesyuarat APEC pertama secara maya

Malaysia cipta sejarah, mesyuarat APEC pertama secara maya
Hairil Yahri Yaacob (kiri) selaku Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan APEC bergambar bersama para delegasi yang julung kali bermesyuarat secara maya. - Foto Sekretariat APEC
KUALA LUMPUR: Malaysia menempa sejarah baharu apabila mempengerusikan Mesyuarat Pegawai Kanan APEC secara maya (VESOM) berkaitan COVID-19 pada Rabu.

Mesyuarat selama empat jam yang bermula jam 7 malam itu disertai semua 21 anggota ekonomi APEC dari lapan zon waktu berbeza di dalam satu platform maya yang sama.

Sekretariat APEC Kebangsaan 2020 dalam satu kenyataan berkata ia disertai oleh semua Ekonomi APEC, Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) termasuk para pemerhati serantau dan antarabangsa. 


“VESOM memfokuskan kepada merealisasikan Kenyataan Menteri Bertanggungjawab Bagi Perdagangan  (MRT) APEC berkaitan COVID-19, yang dikeluarkan awal bulan ini.
“Pegawai Kanan turut mendengar kenyataan dari ABAC, selepas majlis itu mengemukakan pandangan berkaitan peranan sektor swasta dalam mengekang impak pandemik selain mengukuhkan kembali pemulihan ekonomi serantau,” memetik kenyataan itu.

Mesyuarat selama empat jam yang bermula jam 7 malam itu disertai semua 21 anggota ekonomi APEC dari lapan zon waktu berbeza di dalam satu platform maya yang sama.  - Foto Sekretariat APEC 2020
VESOM mengetengahkan lima cadangan, merangkumi; platform untuk saling bertukar informasi berkaitan polisi tindakan oleh Ekonomi APEC berkaitan krisis COVID-19; dua cadangan berasingan berkenaan cara untuk fasilitasi barangan keperluan sewaktu krisis.

Cadangan lain termasuk menubuhkan dana berasingan untuk kerjasama APEC untuk mengekang COVID-19 dan menentukan hala tuju rantau ini ke arah pemulihan ekonomi; dan bimbingan serta hala tuju badan APEC untuk meneruskan tugas pada waktu yang tidak menentu ini.

Sekretariat memaklumkan, daripada semua cadangan itu, tiga daripadanya dicadangkan oleh Malaysia iaitu berkaitan mewujudkan platform dalam pertukaran informasi dipanggil APEC COVID-19 Latest and Immediate Virtual Exchange atau APEC COVID-19 LIVE. 

Platform ini bertujuan untuk memfokuskan kepada campur tangan, langkah, program dan inisiatif polisi yang diamalkan Ekonomi APEC dalam memdepani krisis COVID-19.

Kedua, Malaysia mengemukakan draf dipanggil Deklarasi APEC dalam Memudahkan Pergerakan Barangan Keperluan.

Draf deklarasi ini dikemukakan kepada semua Ekonomi APEC untuk menawarkan senarai barang yang ditentukan oleh mereka sendiri untuk pelaksanaan konsesi tarif sepihak.

Cadangan ketiga adalah berkaitan kapasiti Malaysia selaku Pengerusi APEC 2020 untuk menawarkan bimbingan dalam pelaksanaan tugas melibatkan semua badan APEC di mana semua jawatankuasa, kumpulan kerja dan sub-fora diingatkan supaya tugas mereka perlu diteruskan, sama ada menerusi maya atau antara sesi (inter-sessional).