Kerajaan Malaysia sedang dalam perbincangan dengan Kerajaan Nepal bagi mencari penyelesaian mengenai isu pengambilan tenaga kerja dari negara berkenaan.

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran mendedahkan satu memorandum persefahaman (MoU) untuk menyelesaikan masalah itu dijangka ditandatangani tidak lama lagi.

"Memorandum itu secara prinsipnya dipersetujui oleh Nepal," katanya sambil menambah beliau akan membawa perkara ini ke Kabinet untuk mendapat kelulusan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa khas pengurusan pekerja asing yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di bangunan Parlimen di sini pada Selasa.

Kula Segaran juga berkata kerajaan mengambil keputusan untuk menggantung operasi Bestinet Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan dakwaan penipuan lebih RM185 juta daripada rakyat Nepal yang mencari kerja di Malaysia.

Bagaimanapun, Bestinet menafikan dakwaan itu.

Beliau berkata Nepal berminat untuk menghantar pekerjanya ke Malaysia tetapi berikutan laporan berlaku eksploitasi dalam urusan itu, ia terpaksa menggantung penghantaran tenaga kerjanya ke Malaysia.

-- BERNAMA