Tutup

Malaysia destinasi ideal bagi pelabur Qatar - Tun Mahathir

Malaysia destinasi ideal bagi pelabur Qatar - Tun Mahathir
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) ketika mengadakan pertemuan empat mata dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani bersempena dengan lawatan rasmi empat hari beliau di Qatar di Amiri Diwan, hari ini. - Foto BERNAMA
DOHA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan keyakinan Malaysia akan menjadi destinasi yang ideal bagi pelabur Qatar, terutamanya untuk mengakses ke pasaran lebih meluas di rantau ASEAN.

Dr Mahathir, yang sedang dalam rangka lawatan rasmi selama empat hari ke Qatar, mengalu-alukan lebih banyak syarikat dari Qatar untuk meneroka peluang perniagaan di Malaysia terutamanya dalam sektor minyak dan gas, kimia dan produk kimia, pemprosesan makanan, halal, hotel dan pelancongan, perbankan Islam dan kewangan.
"Saya gembira melihat minat serius yang ditunjukkan oleh komuniti perniagaan di sini. Ini adalah platform terbaik bagi kita untuk memahami dengan lebih mendalam lagi minat pelabur Qatar dan untuk berkongsi potensi peluang pelaburan di Malaysia.

"Kami perhatikan terdapat hanya sedikit pelaburan dari Qatar di Malaysia (buat masa ini)," katanya semasa mesyuarat meja bulat dengan ketua-ketua industri Qatar, di sini, pada Khamis.
Dr Mahathir, yang tiba di ibu kota Qatar ini pada malam tadi, juga percaya terdapat banyak peluang perniagaan yang boleh diteroka oleh perniagaan Malaysia di sini.

Ketika ini, katanya, syarikat Malaysia seperti Gamuda, UEM, Eversendai, Holiday Villa dan Malaysia Airports mempunyai operasi di Qatar.

Perdana Menteri berkata Malaysia kekal berada di landasan ekonomi yang teguh dengan purata pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang kukuh pada 4.6 peratus dalam tiga suku pertama 2019.

Memandangkan asas ekonominya yang kukuh, Malaysia terus menarik pelaburan langsung asing (FDI), katanya.

Menurut Dr Mahathir, Malaysia berusaha untuk mencari keseimbangan dengan bukan sahaja memudahkan urusan menjalankan perniagaan tetapi juga memastikan manfaat kepada negara bagi tempoh jangka panjang.

"Dengan melabur dalam modal insan, teknologi dan prasarana, ditambah dengan dasar mesra perniagaan, kami mahu menyediakan landskap pelaburan yang optimum bagi memudahkan pelabur.

"Saya optimis yang pelabur Qatar akan mendapati Malaysia pangkalan yang menarik untuk mengembangkan operasi mereka ke luar negara. Justeru itu, Mesyuarat Meja Bulat ini adalah medan yang ideal bagi kita untuk membincangkan bagaimana perniagaan dari kedua-dua Qatar dan Malaysia boleh bekerjasama bagi mencapai manfaat bersama," katanya.

Perdana Menteri berkata, keyakinan terhadap Malaysia telah dibuktikan oleh banyak institut dan organisasi bebas. Pada bulan lepas, Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2020 menyenaraikan Malaysia di tangga ke-12 dalam kemudahan menjalankan perniagaan.

"Ia merupakan peningkatan daripada tangga ke-15 tahun lepas, yang mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam menyediakan persekitaran kondusif bagi memudahkan pelabur kita.

"Malaysia juga disenaraikan sebagai negara terbaik di dunia untuk melabur atau menjalankan perniagaan bagi 2019 oleh CEOWORLD Magazine manakala Kad Skor Pasaran Sedang Pesat Membangun 2018 Bloomberg menyenaraikan kami sebagai pasaran sedang pesat membangun paling menarik di Asia," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Perdagangan Bersama antara Malaysia dan Qatar di Kuala Lumpur pada Oktober lepas, dan mesyuarat itu bersetuju untuk mengukuhkan perdagangan dua hala dan kerjasama pelaburan kedua-dua negara dalam bidang seperti perbankan, kewangan, pengangkutan, tenaga, pelancongan, sukan dan pertanian.

"Semasa mesyuarat itu, agensi penggalakan pelaburan negara kami, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Penggalakan Pelaburan Qatar (IPAQ), juga memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menggalakkan pertukaran maklumat mengenai ekonomi dan pembangunan perindustrian serta aktiviti penggalakan bersama.

"Saya optimis ini adalah batu loncatan bagi perkongsian yang lebih kukuh antara Malaysia and Qatar. Hari ini, kita meneruskan momentum di sini untuk menggiatkan lagi kerjasama kita yang saling memberi manfaat," katanya.

Qatar adalah rakan ekonomi kelima paling penting Malaysia, dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM3.72 bilion pada 2018 -- peningkatan 29 peratus berbanding 2017.

-- BERNAMA


Tag: Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, Malaysia, destinasi ideal, pelabur Qatar, rantau ASEAN



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.