Malaysia kini di kedudukan ke-12 kelompok 190 ekonomi dunia dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2020 iaitu meningkat daripada tempat ke-15 pada tahun sebelumnya, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menterinya Datuk Darell Leiking berkata, peningkatan kedudukan itu berkait rapat dengan kerjasama dan komitmen sektor awam dan swasta dalam kumpulan kerja teknikal di bawah Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) untuk menambah baik persekitaran kemudahan menjalankan perniagaan.

"Ini turut didorong oleh kepimpinan yang kukuh daripada PEMUDAH dan sumbangan nasihat daripada pihak Kumpulan Bank Dunia.

"Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebagai Sekretariat PEMUDAH telah bekerjasama erat dengan kumpulan kerja teknikal terbabit bagi memulakan serta memantau pelaksanaan pelbagai inisiatif penambahbaikan," kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Darell berkata PEMUDAH juga secara konsisten melancarkan inisiatif yang ditambahbaik dan memberi impak positif terhadap usaha menjalankan perniagaan secara lancar menerusi galakan kecekapan pengawalseliaan, produktiviti dan tadbir urus baik.

Beliau turut menyifatkan peningkatan prestasi Malaysia dalam Laporan Menjalankan Perniagaan 2020 itu sebagai bukti bahawa pelbagai inisiatif pembaharuan yang sedang dilaksanakan adalah di landasan tepat untuk terus meningkatkan aspek daya saing, produktiviti dan tadbir urus bagi perjalanan perniagaan dan menggalakkan pelaburan yang dapat melonjakkan pembangunan dan kemakmuran ekonomi negara.

Laporan itu membabitkan tinjauan ke atas pengawalseliaan aktiviti perniagaan dalam ekonomi yang kemudiannya akan ditentukan kedudukan berdasarkan skor kemudahan menjalankan perniagaan mengikut indikator-indikator kuantitatif peraturan berkaitan.

Selain itu, laporan Bank Dunia tersebut turut mengukur proses lain termasuk mendapatkan permit bangunan, kemudahan elektrik, pemindahan hartanah, penilaian kredit, melindungi pelabur minoriti, pembayaran cukai, penglibatan dalam perdagangan antarabangsa, pelaksanaan kontrak dan penyelesaian insolvensi atau ketakmampuan untuk membuat pembayaran.

-- BERNAMA