Satu akta yang mampu menyekat masalah lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu digubal di negara ini.

Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Muhammad Asri Mohd Ali berkata, ia penting bagi memastikan mandat rakyat tidak dikhianati sesuka hati oleh pemimpin politik.

Menurut beliau, penggubalan undang-undang yang jelas mampu menyekat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada berbuat demikian, atas alasan kebebasan demokrasi.

“Kalau kita lihat kepada kesan kepada tindakan tersebut (lompat parti), kita menjadi bahan ketawa di seluruh dunia kerana mandat rakyat kelihatannya tidak dipedulikan.

“Sebab apa... kita tidak memberi kuasa semula kepada rakyat apabila pemimpin-pemimpin ini membuat keputusan tidak seperti yang dijanjikan sewaktu mereka mahukan mandat rakyat dahulu,” katanya di sini, pada Khamis.

Muhammad Asri menambah, budaya lompat parti yang dilihat semakin aktif ketika ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Berdasarkan sistem demokrasi, jelas beliau, rakyat di negara ini memberi undi berdasarkan parti dan bukan kepada pemimpin politik.

“Sebab itu di beberapa negara ada yang dinamakan proses ‘recall’ iaitu kita beri kuasa kembali kepada rakyat dengan cara sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pengundi itu, dia boleh buat petisyen untuk diadakan pilihan raya semula sama ada mereka restu atau tidak dengan tindakan Ahli Parlimen mereka,” katanya.

Terdahulu, satu perbincangan meja bulat berhubung kestabilan politik dan Perlembagaan berlangsung di pejabat Sekretariat MPN, di sini.

Selain mengubal akta lompat parti, mesyuarat tersebut bersetuju agar akta berkaitan Kabinet bayangan dan tempoh seseorang pemimpin memegang jawatan perlu turut digubal.