Tutup

Malaysia kekurangan pakar neurologi kanak-kanak - Dr Dzulkefly

Malaysia kekurangan pakar neurologi kanak-kanak - Dr Dzulkefly
DR DZULKEFLY: Jumlah kecil ini sangat tidak mencukupi dan begitu juga terdapat hanya sembilan pakar pediatrik perkembangan di negara ini.
KUALA LUMPUR: Malaysia kekurangan pakar neurologi kanak-kanak bagi memberi khidmat kepakaran kepada 9.4 juta penduduk berusia bawah 18 tahun, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata ketika ini, negara hanya mempunyai 22 pakar tersebut berdaftar dengan Daftar Pakar Kebangsaan dan hanya sembilan daripada mereka berkhidmat dengan hospital kerajaan.
"Jumlah kecil ini sangat tidak mencukupi dan begitu juga terdapat hanya sembilan pakar pediatrik perkembangan di negara ini. Saya harap kongres ini dapat menggalakkan pakar pediatrik muda untuk menyahut cabaran dalam bidang ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan perasmian Kongres Neurologi Kanak-Kanak Asia dan Oceania (AOCCN 2019) ke-15, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata kemajuan dalam bidang neurologi kanak-kanak dan bidang berkaitan telah mengubah kehidupan ramai kanak-kanak kecil yang menghidap pelbagai masalah neurologi.

"Kemajuan dalam bidang ini juga membantu kanak-kanak mengatasi cabaran kehidupan sambil membantu mereka mencapai potensi terbaik masing-masing pada masa depan," katanya.

Persidangan empat hari itu menghimpunkan penceramah serantau dan antarabangsa dalam membincangkan pelbagai topik saintifik, klinikal dan amalan berkaitan neurologi kanak-kanak di rantau ini.

Hadir sama Presiden Kongres AOCCN 2019, Dr Khoo Teik Beng dan Presiden Persatuan Neurologi Kanak-Kanak Asia dan Oceania, Prof Dr Ching-Shiang Chi.

-- BERNAMA