Malaysia terus mengalu-alukan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) serta pelaburan China, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming.

Beliau berkata sokongan ini terus diberikan walaupun Malaysia mengadakan kajian semula ke atas projek-projek membabitkan China seperti Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

"Kajian ECRL adalah disebabkan oleh kos dan kekurangan ketelusan dalam rundingan oleh kerajaan terdahulu.

"Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menegaskan bahawa ECRL hanya akan diteruskan selagi kos terbabit berada dalam lingkungan kemampuan kewangan kerajaan," katanya ketika berucap semasa di Forum Jalur dan Jalan Standard Chartered di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, di sebalik pencapaian BRI yang menguntungkan, kebimbangan mengenai hutang, kemampanan dan ketelusan di kalangan negara terlibat sedang meningkat.

"Negara-negara seperti Pakistan, Laos dan Maldives bimbang jika mereka jatuh ke dalam perangkap hutang. Dengan harapan untuk mengurangkan beban hutang, Pakistan telah melepaskan pegangan ke atas pelabuhan Gwadar kepada China selama 43 tahun.

"Sri Lanka juga telah menyerahkan pelabuhan Hambantota melalui pajakan selama 99 tahun kepada China Merchants Port Holding pada 2017. Pengalaman sebegini telah mencetuskan perdebatan tentang kedaulatan sesebuah negara," katanya.

Bagaimanapun, menurut Ong, adalah tidak adil untuk menyalahkan China semata-mata, berhubung dengan hutang yang ditanggung akibat daripada projek-projek berkaitan BRI.

"Lagipun, projek-projek tersebut telah diluluskan oleh kerajaan masing-masing. Kerajaan China tidak mengawal semua rundingan yang dibuat oleh syarikat-syarikat yang terlibat dalam projek-projek BRI.

"Pelajaran daripada projek-projek BRI sebelum ini menunjukkan negara-negara terlibat perlu memperkukuhkan penilaian dan rangka kerja institusi mereka apabila meluluskan apa-apa projek infrastruktur yang besar. Untuk tujuan itu, asas kepada kejayaan sesebuah projek adalah tadbir urus yang baik dan proses perolehan yang telus," katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Standard Chartered ASEAN dan Asia Tenggara Edward Lee berkata Malaysia bakal mendapat manfaat daripada BRI, terutama dalam sektor komoditi, bahan kimia, plastik, elektrik dan elektronik.

"ASEAN merupakan sebuah pasaran eksport yang berdaya saing dan Malaysia mempunyai dasar domestik yang kukuh, infrastruktur termasuk tenaga buruh yang mahir," katanya.

Kestabilan politik adalah sangat penting dan walaupun kerajaan telah bertukar pada Mei 2018, peralihan yang berlaku bersifat lancar.

"Berbanding dengan negara-negara lain yang mengalami pertukaran kerajaan, perubahan landskap politik Malaysia adalah stabil. Inilah kriteria utama bagi syarikat asing sebelum melabur," katanya.

-- BERNAMA