Penguatkuasaan undang-undang terhadap pelaku pedofilia dan pemerdagangan manusia di negara ini perlu diperketatkan bagi membendung jenayah itu berleluasa di negara ini.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Tenaganita, badan itu mendedahkan permintaan terhadap seks dengan kanak-kanak semakin meningkat di negara ini berbanding negara Asia lain seperti Thailand dan Kemboja.

Pengerusinya, Aegile Fernandez berkata, ini kerana penguatkuasaan di negara Asia lain diperketatkan untuk mengurangkan kadar jenayah itu di negara mereka manakala di Malaysia, kes seumpama itu kurang diberi perhatian.

"Negara lain sudah alami masalah ini dan mereka telah mengambil tindakan yang lebih tegas untuk menanganinyai. Manakala di Malaysia, kita kurang usaha untuk membanteras jenayah ini.

“Kita tidak serius untuk beri perhatian kepada apa yang terjadi kepada kanak-kanak. Kita merasakan semuanya baik di Malaysia. Kita fikir adanya perlindungan dengan menjalankan program,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Aegile turut mendedahkan kebanyakan kes yang dilaporkan melibatkan pemangsa bukan warganegara Malaysia yang menyamar sebagai pelancong.

Justeru, penguatkuasaan perlu dijalankan bukan hanya melalui satu agensi penguatkuasaan tetapi pihak berkepentingan lain perlu bekerjasama.

“Kita kini perlu lebih memahami keadaan di dalam rumah, terhadap keluarga dan jiran-jiran. Perkara ini berleluasa kerana kanak-kanak kurang bercakap tentangnya kerana malu,” jelasnya.

Aegile turut berpendapat kanak-kanak perlu diberi pendedahan awal melalui pendidikan seks agar mereka dapat melaporkan jenayah tersebut sekiranya berlaku kepada mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim menggesa orang awam dan NGO yang mempunyai maklumat mengenai pelaku pedofilia serta pemerdagangan manusia untuk tampal menyalurkan maklumat bagi membanteras jenayah seumpamanya.

“Sekiranya ada laporan polis, kita akan ambil tindakan. Kita akan buat analisa terhadap kes-kes ini sekiranya ada laporan dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.