Pemimpin Wilayah Autonomi Islam Mindanao Bangsamoro (BARMM) menjadikan Malaysia sebagai model pembangunan dan pentadbiran.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata para pemimpin di wilayah itu amat teruja untuk mengisi penubuhan kawasan autonomi tersebut.

“Mereka nampaknya sangat teruja tentang apa yang perlu dilakukan untuk mengisi penubuhan autonomi di kawasan mereka.

“Mereka menyatakan keinginan untuk bertanya kepada kita tentang cara-cara yang mungkin digunakan serta tentang pentingnya pelaburan, supaya mereka dapat peluang bekerja kerana mereka mempunyai ramai pejuang...

"... (Pejuang) yang dahulu cuma tahu berperang sahaja dan sekarang ini beralih kepada kerja-kerja pembangunan kawasan,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai merumuskan pertemuan bersama dua pemimpin utama wilayah itu, iaitu Datu Abul Khayr Alonto selaku Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Mindanao (MINDA) dan Ketua Menteri Sementara Wilayah Autonomi Islam Mindanao Bangsamoro (BARMM), Murad Ebrahim seiring lawatan rasmi tiga hari beliau ke Filipina.

Malah katanya, para pemimpin di Wilayah Mindanao juga turut menerima hakikat berkenaan realiti sebenar autonomi.

“Sekarang ini, mereka sudah terima hakikat bahawa autonomi adalah sesuatu yang perlu untuk mereka berpuas hati.

“Mereka sedar bahawa dalam autonomi, kerajaan pusat mempunyai kuasa juga dalam kawasan mereka.

“Pada masa sama, mereka sedar bahawa tanggungjawab kerajaan pusat termasuk memberi pembiyaan wang,” ujarnya.

Dr Mahathir dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada Khamis memberi komitmen masing-masing untuk meneruskan kelangsungan hidup dan pembangunan di Wilayah Mindanao pasca kejayaan ratifikasi Undang-Undang Organik Bangsamoro.

Sebagai Fasilitator Pihak Ketiga dalam proses damai di Mindanao, lawatan Dr Mahathir kali ini dilihat memberi peluang kepada Malaysia untuk menyuarakan komitmen dalam memastikan keselamatan dan kestabilan yang lebih baik di Filipina dan rantau ini.