Malaysia memperbaiki kedudukan dalam senarai terbaru Laporan Pemerdagangan Manusia oleh Jabatan Negara Amerika syarikat.

Ia susulan usaha kerajaan yang meluaskan siasatan, pertuduhan dan hukuman ke atas penyeludup manusia.

Malaysia dikeluarkan daripada senarai ‘Pengawasan Tahap Dua' dan dimasukkan ke kategori ‘Tahap Dua'.

Menurut laporan berkenaan Malaysia menunjukkan peningkatan dengan memperluaskan siasatan pemerdaganan manusia, pendakwaan dan sabitan kesalahan berbanding sebelumnya.

Namun laporan tersebut menyatakan usaha untuk melindungi mangsa pemerdagangan manusia masih tidak mencukupi.

Negara yang diletakkan dalam senarai Tahap Dua tidak memenuhi standard minimum ke arah membanteras pemerdagangan manusia sepenuhnya tetapi berusaha berbuat demikian.

Senarai Pengawasan Tahap Dua juga mempunyai definisi yang sama, tetapi gagal menyediakan bukti berhubung peningkatan usaha untuk mencegah perdagangan manusia.

Malaysia berada di Tahap Dua pengawasan sejak 2010 sebelum diletakkan pada Tahap Tiga pada 2014.