MALAYSIA berada di tangga ke-18 dalam kesiapsiagaan menangani krisis kesihatan sedunia.

Kedudukan itu merupakan dapatan daripada Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) 2019 daripada 195 negara.

Di Asia Tenggara, Malaysia berada di tempat kedua dengan skor 62.2 selepas Thailand 73.2, manakala Singapura pula di tangga 24 dengan skor 58.7.

Walaupun Amerika Syarikat kini berdepan dengan kritikan kerana gagal menyediakan ujian COVID-19 yang mencukupi untuk rakyatnya, namun negara itu mencatat tempat pertama di indeks tersebut dengan skor 83.5.

Ia diikuti dengan UK, Belanda, Australia, Kanada, Thailand, Sweden, Denmark, Korea Selatan dan Finland.

Indeks tersebut melihat kepada enam aspek: Pencegahan, pengesanan, tahap tindak balas, sistem kesihatan, kepatuhan kepada norma antarabangsa dan risiko.

Malaysia berada pada kedudukan ke-18 dalam GHS.

Dalam aspek pencegahan, Malaysia mendapat skor sebanyak 51.4 manakala tahap pengesanan pula lebih tinggi dengan skor sebanyak 73.2.

Tahap tindak balas negara terhadap krisis kesihatan mendapat skor 61.3, sistem kesihatan negara dengan skor 57.1, kepatuhan kepada norma 58.5, dan kemampuan menangani risiko pula 72.0.

Indeks GHS pada 2019 mendapati bahawa skor purata sedunia adalah 40.2 daripada 100 yang menunjukkan bahawa tahap persediaan majoriti negara untuk menangani epidemik atau pandemik masih rendah.

Skor negara mengikut kategori.

Laporan tersebut menggesa agar semua kerajaan perlu komited dalam memastikan pelaburan dalam sektor kesihatan negara mencukupi untuk menangani sebarang krisis seperti pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

GHS turut mendesak kerajaan untuk bertindak dengan lebih telus dalam menganalisis kemampuan negara masing-masing untuk berdepan dengan krisis.

Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) ini merupakan penilaian menyeluruh yang bertindak sebagai penanda aras keselamatan kesihatan dan keupayaan bagi 195 negara di seluruh dunia.

Indeks GHS ini ialah projek Inisiatif Ancaman Nuklear (NTI) bersama Pusat Keselamatan Kesihatan Johns Hopkins (JHU) dan dihasilkan dengan Unit Perisikan Ekonomi (EIU).