Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Pakistan, Imran Khan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) sesi ke-74.

Dr Mahathir menerusi laman Twitternya berkata kedua-dua pemimpin sependapat bahawa negara-negara Islam perlu dimartabat dan berdaya saing agar setanding seperti negara Jepun, China dan Korea Selatan.
“Kedua-dua pemimpin negara itu juga berhasrat untuk bekerjasama dalam pendidikan seperti mengadakan program pertukaran guru dan pensyarah bagi menaiktaraf keupayaan intelektual, selain kerjasama dalam penyediaan infrastruktur bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D),” memetik muat naik tersebut.

Perbincangan itu antara lain menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah untuk mengukuhkan hubungan dua hala termasuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara dua negara.

“Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bersama untuk mengenalpasti peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia dan Pakistan,” memetik kenyataan Azmin di laman Twitternya.


Kedua-dua pemimpin sebelum itu mengadakan pertemuan tertutup bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Menurut Imran menerusi Twitternya, ketiga-tiga mereka bersetuju melancar saluran televisyen berbahasa Inggeris bertujuan memberi gambaran sebenar agama Islam kepada dunia.

Katanya, pelan daripada tiga negara Islam mewujudkan sebuah saluran televisyen berbahasa Inggeris khusus bagi mengetengahkan imej positif tentang Islam.

Saluran itu mampu memaparkan pelbagai rancangan bertujuan memperbetul berita dan maklumat palsu yang memburuk-burukkan Islam.