Rakyat Malaysia perlu mencontohi semangat jati diri dan cinta negara seperti yang tersemat di dada rakyat Turki.

Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Abd Razak Abdul Wahab berkata, kekuatan rakyat itu terserlah apabila rakyatnya bersatu walaupun berhadapan cabaran sejarah hitam politik di negara berkenaan.

“Turki ini satu negara besar, satu negara yang ekonominya kuat, walaupun ada macam-macam ancaman, dari segi politik banyak isu, tapi dia masih berdiri teguh.

“Rakyatnya kalau perkara melibatkan dasar luar dan sebagainya mereka bersatu, tidak ada pandangan politik berbeza.

“Kalau bercakap soal kenegaraan, jati diri, kita boleh belajar cinta negara dan sebagainya, itu kuat sekali,” katanya.

Abd Razak berkata demikian semasa sidang media 'curtain raiser' sempena lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Turki di kediamannya di sini, pada Rabu.

Lawatan rasmi Dr Mahathir itu juga merupakan tugasan terakhir Abd Razak selepas tiga tahun menjadi duta di Turki.

Mengikut rekod, Turki telah mengalami empat kali sejarah hitam ancaman kudeta tentera iaitu pada 1960, 1971, 1980, 1997 manakala 15 Julai 2016 adalah paling buruk.

Kegagalan kudeta itu sekali gus menjadi titik tolak transformasi sistem pemerintahan di Turki, termasuk kejayaan Presidenya, Recep Tayyip Erdogan memenangi pilihan raya Presiden sebelum ini.

Berbekalkan kemenangan itu, Erdogan menjadi presiden pertama Turki dengan kuasa eksekutif, sekali gus memudahkan beliau melakukan transformasi.