Malaysia memerlukan pendekatan ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa dengan sisa boleh menjadi sumber dan bahan yang kitaran hayatnya boleh dipanjangkan dengan cara dikitar semula dengan betul, menurut kumpulan industri berkaitan plastik.

Kumpulan itu menegaskan bahawa rangka kerja kawalan selia dan pelaburan yang jelas adalah penting untuk menggalakkan transformasi yang diinginkan untuk menjadi industri bernilai tinggi, maju, automatik, bersih dan patuh.

"Industri kitar semula plastik yang bersih dan berdaya maju akan menjadi enjin pertumbuhan baharu bagi pekerjaan dan eksport," kata Persatuan Pengilang Plastik Malaysia dan Persatuan Pengilang-Pengilang Pengitaran Semula Plastik Malaysia dalam kenyataan bersama hari ini.

Pada masa ini, peraturan yang samar dan arahan dasar yang kurang jelas menjejaskan pelaburan dalam sektor kitar semula kerana para pelabur tidak yakin dengan daya maju ekonomi.

Oleh itu, industri kitar semula yang sihat memerlukan kemudahan penyisihan yang berkesan atau Kemudahan Pemulihan Bahan iaitu barang yang boleh dikitar semula diasingkan ke dalam aliran sisa.

Oleh itu, plastik yang boleh dikitar semula tidak boleh dilupuskan di tapak pelupusan sampah kerana ia tidak boleh lagi dijadikan sebagai sumber dan digunakan secara berulang.

Kumpulan itu juga menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap tempat pelupusan sampah haram seperti di Sungai Petani dan terhadap penyeludup yang membuat pengisytiharan palsu kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengimport 'sampah plastik' secara haram.

"Kami juga menyokong tindakan menyita operasi kitar semula haram, dengan kira-kira 150 daripadanya telah ditutup oleh kerajaan setakat ini.

"Kami akan terus menyokong dan bersedia untuk membantu kerajaan dalam usaha untuk membanteras pengusaha haram dan tidak bertanggungjawab dan dalam usaha melindungi alam sekitar," kata mereka.

Kumpulan tersebut menegaskan bahawa pembuangan sampah secara haram yang berleluasa seperti di Sungai Petani baru-baru ini menunjukkan bahawa rangka kerajan dan infrastruktur untuk kitar semula barang adalah tidak lengkap dan memerlukan penyusunan semula.

-- BERNAMA