Data terbaharu Jabatan Statistik meletakkan populasi Malaysia pada 32 juta orang, melibatkan 28.7 warganegara Malaysia dan selebihnya bukan warganegara.

Angka itu juga memberi gambaran yang semakin jelas bahawa Malaysia semakin mengalami populasi menua.

Sejak data populasi yang direkodkan dari 1955 sehingga 2017, wujud trend jelas yang menunjukkan median umur rakyat Malaysia semakin bertambah dari tahun ke tahun.

Pada 1955, median umur penduduk ketika itu berada pada 19 tahun dan pada 2016 ia meningkat kepada 28.9 tahun.

Untuk tahun 2017 pula, statistik menunjukkan jumlah penduduk yang baru lahir sehingga yang berusia 14 tahun semakin berkurangan, iaitu pada 24.1 peratus berbanding 24.5 peratus pada 2016.

Perkara ini bagaimanapun sudah dijangka.

Laporan Prospek Populasi Dunia 2015 meletakkan median umur penduduk Malaysia pada 2020 pada 31 tahun dan 41 pada 2050.

Malah Jabatan Statistik Malaysia pada 2016 menyatakan Malaysia dijangka menjadi negara tua pada 2035, sekitar 18 tahun dari sekarang.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun dalam soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin berkata, perubahan demografi ini memerlukan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif selaras dengan Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan bagi memastikan warga emas terus dapat berdikari dan menyumbang kepada ekonomi negara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menegaskan, wujud keperluan mendesak bagi menyesuaikan kemudahan perumahan dan keperluan asas lain sesuai dengan kedudukan negara yang bakal menjadi negara tua dalam tempoh beberapa dekad akan datang.
Sumber: Worldometers

“Sebarang perancangan mengenai golongan tua yang semakin ramai ini tidak seharusnya hanya memfokus kepada hal berkaitan kewangan dan bantuan sahaja, tetapi harus turut sama prihatin terhadap isu asas seperti perumahan, pengangkutan awam dan segala bentuk aspek kehidupan warga emas,” jelasnya.

Negara tua merujuk kepada keadaan apabila 15 peratus penduduk di sesebuah negara adalah warga emas, berusia 60 tahun ke atas.