Malaysia akan bertindak balas termasuk kemungkinan membeli pesawat pejuang dari China sekiranya Kesatuan Eropah (EU) terus mengenakan sekatan terhadap minyak kelapa sawit dari negara ini.

Tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sekatan berkenaan semata-mata bagi menjaga kekayaan ekonomi EU dan dilakukan secara tidak adil.

Dr Mahathir dalam ucapannya sebelum itu, turut membidas sikap berpura-pura barat yang yang memboikot minyak kelapa sawit kononnya demi menjaga alam sekitar.

Katanya, tindakan memboikot itu adalah demi meningkatkan pasaran ekonomi mereka tanpa memikirkan kesan kepada 600,000 pekerja ladang kelapa sawit yang berkemungkinan hilang punca pendapatan.

"Jika mereka (EU) tetap mahu ambil tindakan terhadap kita, cuba memiskinkan kita, kita akan terpaksa menimbang untuk membeli kapal terbang daripada China atau mana-mana negara lain. Kita tidak perlu kapal terbang yang terlalu sofistikated, kita cuma perlu (kapal terbang) Cessna," katanya.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, Malaysia bukan mahu melancarkan 'perang' terhadap barangan dari Eropah kerana masih ada produk dari negara kesatuan itu yang perlu dibawa masuk ke negara ini, tetapi, katanya, ada beberapa barang tertentu mungkin boleh dibeli dari negara lain.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Sayangi Sawitku di Ladang East Sime Darby Plantations di Pulau Carey, hari ini.

Turut hadir Menteri Industri Utama, Teresa Kok; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.