Malaysia menyediakan bantuan kewangan RM500,000 kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan perkara berkenaan selepas perbualan telefon beliau dengan Naib Presiden Indonesia, Jusof Kalla sebentar tadi berhubung tragedi melanda Palu, Sulawesi.

Katanya, ketika ini Malaysia telah menghantar Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) ke Sulawesi, Indonesia bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di negara itu.

"Indonesia terbuka dalam menerima bantuan kita, kita akan menghantar pasukan SMART bagi kerja SAR kerana kita mengejar masa bagi memastikan sebanyak mungkin mangsa diselamatkan dan kita juga menyalurkan bantuan kewangan RM500,000 untuk membantu Indonesia menghadapi bencana ini,

“Kita sudah hantar bantuan tetapi pesawat bantuan kita jenis amfibi ketika ini ada masalah melakukan pendaratan di Makassar,” jelasnya.

Beliau ditemui di Kompleks Sukan Paralimpik di sini hari ini selepas menyerahkan jalur gemilang kepada kontinjen atlet negara yang menyertai Sukan Para Asia 2018 di Jakarta bermula 6 hingga 13 Oktober ini.

Ratusan orang dilaporkan maut akibat tragedi gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami di Palu Jumaat lalu, yang turut mengakibatkan bekalan elektrik serta perhubungan terputus di sekitar bandar itu.