Kumpulan Kerja Malaysia dan Singapura mengadakan pertemuan di Putrajaya hari ini bagi membincangkan isu maritim yang merangkumi Had Pelabuhan Johor Bahru dan Had Pelabuhan Singapura.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Kementerian Luar berkata Kumpulan Kerja yang ditubuhkan oleh Kementerian Luar kedua-dua negara telah membincangkan hal-hal berkenaan operasi dan perundangan bagi mengendurkan keadaan dan menyediakan suatu asas untuk perbincangan dan rundingan lanjut.

Delegasi berkenaan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Kiong.

"Berdasarkan mandat yang diberikan Menteri Luar Malaysia dan Singapura semasa mesyuarat mereka pada 8 Jan, kedua-dua delegasi mengadakan perbincangan membina untuk satu set cadangan positif yang akan dihantar kepada Menteri Luar Malaysia dan Singapura untuk pertimbangan mereka bagi dimuktamadkan," kata kenyataan itu.

Pertikaian antara Malaysia dan Singapura mengenai persempadanan maritim berkaitan had Pelabuhan Johor, timbul semula pada 4 Dis lalu, selepas republik itu mendakwa langkah melebarkan lagi had pelabuhan itu sudah melangkaui kawasan perairan Tuas di wilayah Singapura.

-- BERNAMA