Kerajaan Malaysia mencadangkan supaya Malaysia dan Singapura menghentikan sebarang penghantaran aset ke kawasan yang dipertikaikan di Selat Johor.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata kedua-dua negara perlu berbuat demikian bermula tengah malam pada 8 Disember sementara menunggu perbincangan mengenai isu sempadan maritim tersebut.

Hal ini kerana kedua-dua negara jiran mempunyai perbezaan pendapat berkenaan Pengisytiharaan Pengubahan Had Pelabuhan di Johor Bahru.

“Tindakan untuk menghentikan penghantaran aset ini diputuskan tanpa menjejaskan kedudukan Malaysia ataupun Singapura dalam menuntut sempadan maritim di kawasan berkenaan,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Saifuddin berkata Malaysia mencadangkan supaya mesyuarat yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah maritim antara kedua-dua negara ini diadakan.

Tambahnya, Malaysia juga telah menyampaikan bantahan kepada negara jiran itu berkaitan keputusan untuk memperluaskan sempadan perlabuhan Singapura di Tuas pada 6 Disember lalu.

Malaysia menegaskan sebarang tindakan menceroboh sempadan perairan Malaysia memberi indikasi mengubah had pelabuhan Johor Bahru seperti ynag dinyatakan pada Warta P.U. (B) 587 Kerajaan Persekutuan mengenai Pengisytiharan Perubahan Had Pelabuhan untuk Pelabuhan Johor Bahru yang diterbitkan pada 25 Okt, 2018 oleh Jabatan Peguam Negara Malaysia.

Katanya ini secara nyata, ini melanggar undang-undang antarabangsa dan meminta Singapura menarik balik keputusannya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen memberi amaran kepada kapal-kapal Malaysia supaya tidak menceroboh perairan republik tersebut.

Menerusi muat naik Ng di laman Facebooknya, beliau mendakwa bahawa kapal-kapal milik Malaysia telah menceroboh perairan di Tuas secara berulang kali sejak November lalu.

“Ini menunjukkan pencabulan kedaulatan Singapura. Pasukan keselamatan kami bertindak dengan berhati-hati walaupun menghadapi pencerobohan dan provokasi secara berterusan.

“Rakyat Singapura cintakan kedamaian, tetapi saya memberikan amaran keras kepada pihak yang menceroboh supaya meninggalkan perairan Singapura,” katanya.