Malaysia-Singapura setuju bina keretapi laju menjelang 2020

Malaysia-Singapura setuju bina keretapi laju menjelang 2020
SINGAPURA: Malaysia dan Singapura bersetuju melaksanakan projek kereta api berkelajuan tinggi menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura yang dijangka siap pada tahun 2020.

Persetujuan bagi projek tersebut yang akan memendekkan tempoh perjalanan diantara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit dicapai pada pemukiman pemimpin antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong.
Kedua pemimpin melihat projek itu bakal meningkatkan kesalinghubungan di antara dua negara antaranya dari aspek peluasan rangkaian perniagaan kedua ekonomi.

Sesi pemukiman pemimpin-pemimpin Malaysia dan Singapura ke-4, bermula secara rasminya pagi Selasa dengan pertemuan antara Perdana Menteri dengan Lee.

Mesyuarat membincangkan peluang meneroka inisiatif-inisiatif baru bagi mengukuhkan hubungan bilateral kedua-dua negara.

Pemukiman kali ini bakal menyaksikan kedua-dua pemimpin meninjau perkembangan projek kerjasama Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Holdings Private Limited di Marina One, Marina South, yang mempunyai nilai pembangunan kasar USD$7 billion (RM21.6 billion).

Mereka juga akan diberi taklimat mengenai satu lagi projek yang diusahakan bersama iaitu duo serta diberi penerangan mengenai perkembangan projek duo di Ophir-Rochor.