Malaysia menyokong penuh penglibatan masyarakat madani yang lebih meluas dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta memperkukuh fahaman pelbagai hala (multilateralisme), kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata ulang tahun ke-75 PBB tahun ini menjadi pemangkin terbaik kepada Malaysia untuk mempererat kerjasama dengan masyarakat madani bagi mengenal pasti jurang dan mengubah sistem.

Dengan memberi perhatian kepada seruan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, beliau berkata terdapat keperluan untuk memberi lebih banyak makna kepada ungkapan "kami, rakyat" dan mempromosikan konsep multilateralisme yang lebih berpaksikan kepada rakyat.

"Kita perlu memastikan PBB tetap relevan dan bermanfaat kepada rakyat kita, kerana melepaskan tanggungjawab itu, akan menjadi pengkhianatan kepada masa hadapan," katanya.

Hishammuddin berkata demikian dalam ucapan beliau semasa perhimpunan maya "UN75 National Conversation: The Future We Want and The UN We Need", dari sini pada Jumaat.

Menurut beliau, krisis COVID-19 telah menyedarkan semua dalam masyarakat global dan pandemik itu turut memburukkan lagi kesan konflik dan kemiskinan, kepada ketidakstabilan ekonomi dan perubahan iklim.

"... dan keadaan kita akan bertambah buruk sekiranya ia tidak ditangani secara kolektif dalam semangat saling mempercayai dan penuh keyakinan. Malah dengan PBB memimpin perbincangan dalam pelbagai isu dan cabaran, kita sering mahukan sesuatu yang lebih nyata.

"Kita harus memahami fakta yang tidak boleh dinafikan bahawa PBB perlu pembaharuan dan ulang tahun ke-75 dijadikan sebagai tahun yang tepat untuk menoleh ke belakang, menilai pencapaian kita, dan terus maju dengan perubahan yang diperlukan untuk menjadikannya sebuah pertubuhan antarabangsa yang lebih berkesan dalam tahun-tahun mendatang. Sejarah akan menilai kita dan tindakan yang kita lakukan hari ini akan menentukan PBB yang ingin kita lihat dalam tempoh 25 tahun pada ulang tahun ke-100," katanya.

Hishammuddin berkata Malaysia bersedia untuk memainkan peranannya, melalui pertimbangan dan perbincangan hari ini akan membuka jalan untuk perkongsian yang lebih kukuh antara Malaysia dengan PBB untuk bersama-sama menangani cabaran memerangi COVID-19.

"Walaupun dalam masa sukar ini, anda perlu yakin dengan komitmen Malaysia sebagai rakan PBB yang boleh dipercayai. Kami bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak memandangkan dunia kini menuju ke arah pemulihan selepas terjejas akibat COVID-19," katanya.

Sebagai membuktikan komitmen dan ketegasan Malaysia dalam memperjuangkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan global, Hishammuddin berkata Malaysia mengetuai satu inisiatif untuk melancarkan " Kenyataan Menyokong Rayuan Setiausaha Agung PBB untuk Gencatan Senjata Sejagat di tengah-tengah Pandemik COVID-19", yang kini mendapat sokongan 172 negara anggota, negara bukan anggota dan pemerhati.

"Kami percaya bahawa sangat penting untuk membenarkan negara, termasuk negara-negara yang menderita akibat konflik, untuk menumpukan perhatian menangani pandemik maut dan kesannya selepas itu," katanya.

Dalam penghasilan vaksin COVID-19 yang adil, Hishammuddin berkata Malaysia percaya bahawa pengeluaran vaksin itu perlu menggalakkan kerjasama antarabangsa dan bukannya persaingan antara negara.

"Dalam hal ini, PBB dapat memainkan peranan yang lebih besar dan proaktif dengan memberi penekanan kepada vaksin secara sama rata, mudah didapati dan berpatutan kepada semua. Perpaduan global dalam hal ini sangat diperlukan sekarang lebih dari sebelumnya dan masa tidak menyebelahi kita. Kita mesti bergerak pantas kerana ini mungkin satu-satunya peluang yang kita dapat," katanya.

Sebagai Menteri Luar, beliau telah bekerjasama rapat dengan rakan-rakannya di seluruh dunia di dalam lingkungan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Komanwel, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Jalur dan Laluan Antarabangsa (BRI) dan secara serantau dengan ASEAN untuk berkongsi amalan dan pengalaman terbaik dalam mengurus dan mengawal COVID-19.

"Bagaimanapun, Malaysia boleh melakukan lebih lagi jika PBB turut serta, mencartakan laluan baharu masa hadapan bersama dalam era pasca pandemik," kata beliau.

Hishammuddin berkata lebih banyak tugas perlu dilaksanakan PBB dan meningkatkan lagi kerjasama antarabangsa serta kerja berpasukan dalam memerangi COVID-19.

Katanya, rakyat tidak melihat kesan langsung PBB terhadap kehidupan seharian mereka dan Malaysia perlu menangani krisis sosioekonomi ini bersendirian kerana ramai yang kehilangan pekerjaan, perniagaan terpaksa ditutup, "dan dompet semakin nipis".

"Sebagai contoh, dalam beberapa bulan pertama pandemik itu - Majlis Keselamatan PBB (UNSC) tidak membincangkan isu itu walaupun ia menimbulkan ancaman serius terhadap landskap keselamatan dunia. Hanya pada hari Rabu, UNSC bertemu dan mengguna pakai resolusi menuntut menghentikan segera permusuhan bagi membolehkan negara-negara menumpukan semula usaha untuk memerangi pandemik itu. Oleh kerana ini adalah langkah pertama yang positif, kita harus sedar hakikat bahawa COVID-19 bukan satu-satunya krisis yang kita hadapi," katanya.

Mengambil contoh nasib etnik Rohingya, Hishammuddin berkata pelarian di kem-kem semakin terdedah kepada eksploitasi.

"Kekurangan dan kekecewaan mereka juga dapat menyebabkan kemungkinan berlakunya perekrutan oleh kumpulan pengganas dan pelampau, yang mendiamkan diri sepanjang penularan wabak, yang tidak boleh disalah tafsir sebagai tidak aktif. Adalah penting bagi kita untuk memahami bahawa semua ini berlaku di sebalik pandemik COVID-19," katanya.

-- BERNAMA