Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencabar ‘Raja Gula Malaysia’, Tan Sri Robert Kuok untuk menyerahkan semula kewarganegaraan Malaysia kerana ‘negara ini tidak memerlukan rakyat seperti beliau’.

Mohamed Nazri, yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, berkata tindakan Kuok selama ini menunjukkan beliau seorang yang tidak mengenang jasa kerajaan yang menyokong serta membantu perkembangan perniagaannya selama ini.

Katanya, Kuok juga bagaikan “kacang lupakan kulit” setelah menjadi individu yang membuat keuntungan tinggi.

BACA: Robert Kuok kekal individu paling kaya buat kali ke-11

Dalam menegaskan bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk memberikan sumbangan kepada mana-mana parti politik yang menjadi pegangannya, namun sebagai wakil kerajaan, Mohamed Nazri mengakui amat tersinggung dengan niat hartawan itu untuk membantu DAP.

“Saya tak faham. Kalau dia nak menyumbang kepada DAP itu hal dia, tetapi apa salahnya kalau dia menyumbang juga kepada kita kerana selama ini kita yang banyak bantu dia.

“Sejak merdeka kita banyak bantu dia, tapi sekarang jadi seperti beri makan kepada anjing yang gigit kita balik. Kalau dia nak lawan, kita lawan dia. Kita nak tengok berapa kekayaan dia boleh belanja.

“Jangan ingat you banyak duit you rasa bongkak, you masuk politik sendiri. Jangan jadi pengecut, penakut bagi duit kepada DAP untuk jatuhkan kerajaan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Pusat Kegiatan Masyarakat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubang Panjang, di sini, pagi tadi.

Mohamed Nazri juga memberi cabaran kepada Kuok untuk segera pulang ke Malaysia jika taikun perniagaan itu betul-betul berani menentang kerajaan.

“Kalau betul-betul berani, balik ke Malaysia, lawan. Kita tak takut, tak hirau duit dia sebab rakyat tahu siapa dia. Saya memang marah sebab kalau dia nak beri pandangan, dia boleh beri pandangan.

“Tapi bila saya tahu isi hatinya, saya akan lawan habis-habisan. Robert, kalau you berani baliklah Malaysia. Saya memang marah. Jangan duduk luar negara jadi pengecut, penakut, pondan.

“Bagi duit kepada pembangkang untuk jatuhkan kerajaan, dia takkan menang. Rakyat Malaysia bukan sahaja Melayu tetapi Cina pun marah pada dia,” tegasnya.