Malaysia menerima bantuan peralatan perubatan daripada kerajaan China untuk petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus membanteras COVID-19.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia melibatkan 100,008 unit Test Kit COVID-19 Nucleic Acid Diagnostic Kit (PCR-Fluorescence Probing), 100,000 topeng muka N95, 500,000 topeng muka tiga lapisan, 50,000 unit Alat Pelindung Diri (PPE) and 200 unit ventilator.

"Ini adalah sumbangan yang luar biasa daripada sebuah negara kepada Malaysia, menunjukkan hubungan erat dan kerjasama kita dengan Malaysia. Seperti yang disebutkan sebentar tadi, akan ada lagi akan menyusul selaras dengan kerjasama yang dilakukan dalam membanteras virus korona," katanya dalam Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Perubatan dari Kerajaan China kepada Kerajaan Malaysia di Wisma Putra tadi.

Kesemua bantuan diterima Hishammuddin yang mewakili Kerajaan Malaysia daripada Duta China ke Bai Tian.

Tambahnya, Malaysia akan menggunakan sebaiknya kesemua peralatan yang disalurkan kerajaan China.

"Saya hanya boleh janji kepada China bahawa Malaysia akan menggunakan sepenuhnya peralatan berkenaan. Kita akan terus salurkan kepada NADMA dan saya yakin ia akan membantu barisan hadapan kita seperti doktor, jururawat yang bekerja tanpa mengenal penat membanteras virus ini. Sumbangan China ini akan memberikan lebih tenaga dan semangat kepada mereka untuk terus berjuang," ujarnya lagi.

Pada masa sama, Malaysia berharap usaha dilakukan China akan diteruskan bagi menangani COVID-19.

"Kepada China, teruskan bekerjasama dengan kami. Mewakili Perdana Menteri, kerajaan Malaysia, dan rakyat Malaysia, kami mengucapkan terima kasih," kata beliau.

Katanya lagi, Malaysia turut menghargai usaha dilakukan China dalam keadaan negara menghadapi krisis disebabkan COVID-19.

"Di Wisma Putra, ia bermula dengan satu panggilan telefon saya dengan Menteri Luar Negeri, Wang Yi. Ia menyusul dengan satu surat daripada saya yang mengharapkan beliau bekerjasama rapat dalam isu melibatkan COVID-19," ujarnya.