Skip to main content

Malaysia

Malaysia tetap konsisten tidak jalin hubungan diplomatik dengan Israel - Hishammuddin

71561293921_BekasMenteriPertah.jpg
Keputusan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan Israel tidak akan menjejaskan sama sekali hubungan Malaysia dengan negara Arab itu.

Ini kerana Malaysia berpandangan, bahawa keputusan itu adalah hak kedaulatan UAE.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagaimanapun berkata, pendirian Malaysia tetap konsisten tidak menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

"Asalkan kita pegang kepada pendirian kita. Keputusan negara-negara lain yang berdaulat, dan yang mempunyai hak mereka sendiri untuk membuat apa jua pendirian tak seharusnya menjejaskan Malaysia.

"Sebenarnya hubungan saya dengan UAE cukup erat. Hubungan hormat menghormati antara dua-dua negara ini harus mampu untuk mengatasi pertimbangan pendirian semasa dan tidak ada sebabnya saya boleh atau tak boleh jumpa berbincang dengan mereka.

Beliau ditemui selepas Majlis Ramah Mesra di Dewan Semai Bakti Felda Trolak Selatan, pada Ahad.

Pada Khamis, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan perjanjian damai antara UAE dan Israel.

Dengan perjanjian itu, UAE menjadi negara Arab ketiga, selepas Mesir dan Jordan, menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Advertisement

Must Watch Video