Tutup

Malaysia tidak setuju tindakan India terus menekan Pakistan - Tun Mahathir

Malaysia tidak setuju tindakan India terus menekan Pakistan - Tun Mahathir
Dr Mahathir memulakan lawatan kerja beliau ke London selama tiga hari bermula hari ini, dan beliau turut dijadualkan memberi syarahan di Cambridge Union pada 16 Jun. - Bernama
LONDON: Malaysia akan cuba menghalang tindakan India yang meminta Jawatankuasa Bertindak Tindakan Kewangan (FATF) untuk meletakkan Pakistan dalam senarai hitam badan itu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, adalah tidak adil untuk terus menekan Pakistan atas dakwaan yang tidak kukuh, memandangkan negara itu telahpun mengambil beberapa langkah tertentu dalam mencegah aktiviti pembiayaan oleh kumpulan keganasan, walaupun pada pandangan Dr Mahathir, ia boleh dilipatgandakan lagi.
“Saya dapati bahawa Pakistan telah mengambil banyak tindakan, tetapi mungkin ada lagi boleh di lakukan Pakistan. Kita tidak bertindak berasas permusuhan, dan sebagainya.  Kita bertindak mengikut rule of law.

“Kalau undang-undang itu tidak membukti kesalahan, kita tidak ambil tindakan semata-mata kerana kita bermusuh dengan sesetengah pihak,” katanya ketika ditemui media Malaysia di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke London, di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata, beliau telah dihubungi secara peribadi oleh Perdana Menteri Pakistan Imran Khan berhubung perkara itu, dan beliau memberi jaminan Malaysia akan cuba menghalang tindakan India itu, selagi mana dakwaan berhubung pembiayaan aktiviti keganasan tidak dibuktikan mengikut undang-undang yang betul.

Terdahulu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah memberitahu media Malaysia bahawa sekurang-kurangnya tiga negara perlu membantah sebarang panggilan untuk meletak sesuatu negara dalam senarai hitam FATF.

Dalam hal ini, Saifuddin berkata, Malaysia akan menyertai dua lagi negara iaitu China dan Turkey dalam usaha menghalang Pakistan dari disenaraihitamkan agensi itu.

Dr Mahathir memulakan lawatan kerja beliau ke London selama tiga hari bermula hari ini, dan beliau turut dijadualkan memberi syarahan di Cambridge Union pada 16 Jun.


Tag: mahathir mohamad, london, pakistan, india, sekatan, hubungan antarabangsa, FATF



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.