Malaysia tidak dipilih sebagai pusat ujian fasa ketiga percubaan klinikal vaksin COVID-19.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perbincangan sedang dijalankan bersama syarikat dan negara-negara yang membangunkan vaksin tersebut.

"Berhubung vaksin, perbincangan (dengan pihak berkaitan) masih berjalan, dan ketika ini kita memasuki fasa ketiga percubaan klinikal. Tetapi, Malaysia tidak terpilih sebagai pusat percubaan fasa ketiga.

"Ketika ini, kita mempunyai banyak soalan berbanding jawapan, sehingga kita melihat kepada data daripada aspek keselamatan fasa ketiga percubaan klinikal dan sebagainya.

"Bagaimanapun, (kita) menggalakkan (pembangunan) vaksin untuk terus dijalankan tetapi kami masih menunggu data keberkesanan vaksin tersebut," katanya dalam sidang media, di sini pada Isnin.

Terdahulu, media melaporkan enam vaksin percubaan COVID-19, termasuk tiga dari China, kini memasuki percubaan fasa ketiga.

Menurut Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Michael Ryan, tiga vaksin percubaan itu dari Sinovac, Institut Produk Biologi/Sinopharm Wuhan, dan Institut Produk Biologi/Sinopharm Beijing.