Kerajaan akan meningkatkan kerjasama lebih kukuh dan erat antara pelbagai kementerian serta agensi di Pakistan selain persefahaman antara rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia termasuk kejayaan rundingan dua hala pertama di antara pegawai kanan Kementerian Luar negeri sebagai forum utama merealisasikan hasrat berkenaan.

Selain itu, jelas beliau, kedua-dua negara perlu mengakui keperluan meneroka potensi besar selain mengembangkan lagi perkongsian ekonomi khususnya bidang pelaburan dan pelaburan yang mewujudkan rangkaian entiti ekonomi dan sektor swasta.

"Kami mengesahkan kepentingan Perkongsian Ekonomi Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) yang ditandatangani pada 8 November 2007 di Kuala Lumpur.

"Kami bersetuju tentang keperluan untuk perbincangan teratur untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dengan menghapuskan halangan dalam sektor utama dan menangani ketidakseimbangan dua hala.

"Kami berharap dapat mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama keempat di Islamabad," katanya semasa sidang media selepas perjumpaan bersama Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan di pejabatnya di sini, pada Selasa.


Imran Khan tiba di Malaysia pada Isnin untuk lawatan kerja dua hari.

Ini merupakan lawatan kerja kali kedua bekas bintang kriket itu ke Malaysia sejak menjadi Perdana Menteri pada Ogos 2018.

Lawatan pertama beliau ialah pada November 2018.

Dalam pada itu, kata Dr Mahathir, antara topik perbincangan dengan rakan sejawatannya itu meliputi aspek mengukuhkan sektor pertahanan, penguatkuasaan undang-undang, pelancongan dan pendidikan.

Selain itu katanya, perbincangan turut meliputi isu berkaitan umat Islam, Rohingya di Myamnar dan Palestin.

Dr Mahathir menjelaskan turut berkongsi hasil Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 selain kedua-dua Perdana Menteri turut menyaksikan Perjanjian Ekstradisi yang akan mengukuhkan momentum positif hubungan dengan meningkatkan kerjasama dalam isu jenayah keselamatan antara kedua-dua negara.