Susulan penularan wabak COVID-19 yang memberi kesan kepada sektor pelancongan di negara ini sejak sebulan lalu, Kementerian Pelancongan,Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) akan mengambil langkah-langkah perlu bagi melancarkan pameran pelancongan Malaysia Travel Fair 2020 di sini pada Jumaat.

Menurut Ketua Pengarah Kementerian, Datuk Musa Yusof, kempen terbabit merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi bagi membolehkan penggiat-penggiat industri pelancongan meneruskan aktiviti-aktiviti pelancongan dan memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan.

“Kita telah belajar daripada jrebu dan SARS dahulu, apa yang berlaku apabila pelancongan domestik adalah satu modal untuk kita cushion impact (mengurangkan kesan) yang ada.

“Jadi apa yang kita gerak sekarang ini, Malaysia adalah tourist generating country, ramai pelancong tempatan ke luar negara jiran, tetapi kebanyakan lokasi pelancongan lockdown,” jelasnya selepas merasmikan Pameran Malaysia Travel Fair 2020 di Pusat Dagangan Dunia di sini pada Jumaat.

Pameran yang berlangsung selama tiga hari sehingga 15 Mac itu melibatkan 150 penyertaan dari pemain industri dengan sasaran 100,000 jumlah pengunjung serta pulangan sebanyak RM220 juta.

Meskipun industri pelancongan berdepan situasi sukar susulan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia, namun sektor itu boleh dibantu menerusi pelancongan domestik.

“Tidak semua produk di Pahang, orang tahu dan tidak semua produk di Negeri Sembilan orang tahu. Jadi ini yang kita perkenalkan,” katanya lagi.

Malah kerjasama dengan pelbagai pihak selepas mendapat persetujuan Tourism Recovery Action Committee (TRAC) juga turut dijangka memberi impak positif kepada sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Untuk rekod, sebanyak 78.2 juta pelancong domestik telah dicatatkan pada tahun 2018 dengan pertumbuhan sebanyak 10.9 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.

Manakala bagi perbelanjaan pelancongan domestik pula merekodkan pertumbuhan 11.7 peratus pada tahun 2018 bersamaan dengan RM60.4 bilion.