Media yang hanya menulis berdasarkan satu sumber mungkin hanya memperoleh 25 peratus daripada keseluruhan audien memandangkan 75 peratus audien sudah tidak boleh menerima berita politik yang dibuat hanya berdasarkan satu sumber.

Data berkenaan merupakan dapatan kajian terbaru Pew Research Center yang dibuat berdasarkan median kajian ke atas kepercayaan masyarakat di 38 negara terhadap sumber berita.

Ia membabitkan hampir 42,000 responden.

Data berkenaan juga menunjukkan lebih separuh penduduk dunia tidak berpuas hati dengan laporan politik di media dan menyifatkan laporan berkaitan politik tidak memuaskan.

Kajian Pew Research Centre mendapati rata-rata audien mahukan laporan berita politik yang adil dan tidak berat sebelah.

Ia juga mendapati majoriti responden berpendapat media di negara mereka tidak berupaya membuat laporan politik secara adil.

Kajian berkenaan dibuat pada awal tahun lalu di kebanyakan negara utama seperti Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan Australia.

Di Asia, kajian melibatkan responden di India, Indonesia, Jepun, Filipina, Korea Selatan dan Vietnam.

Kajian ini bagaimanapun tidak melibatkan responden di Malaysia. Persoalannya, adakah sentimen sama dirasai di negara ini?

Pengarah Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Fuaad berpendapat, sukar untuk menilai sama ada audien di Malaysia berkongsi sentimen yang sama.

“Saya ambil contoh, The Star dan New Straits Times, mereka juga vokal mengenai isu semasa, tetapi persepsi masih menganggap ia seperti menyebelahi kerajaan,” jelasnya kepada Astro AWANI.

"Walaupun akhbar di Malaysia semakin berani untuk melaporkan secara adil, tetapi mereka sering dipandang berat sebelah kerana mereka dimiliki oleh parti politik," tambahnya.