PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak mencipta sejarah sebagai ahli parlimen paling muda yang diundi ke Parlimen pada usia 22 tahun pada tahun 1976, selepas menggantikan bapanya Tun Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia.

Sehingga kini, rekod itu masih dipegang oleh Najib.

Ahli parlimen paling muda ketika ini ialah Zairil Khir Johari dari DAP yang mewakili kerusi Bukit Bendera.

Malaysia, mempunyai ahli parlimen muda, di bawah usia 40 tahun, tetapi jumlahnya hanya 22 orang, iaitu 10 peratus daripada keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat.

Angka ini sememangnya jauh berbanding sasaran Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahukan 30 peratus ahli parlimen di kalangan belia berusia 40 tahun ke bawah.

Jika mahu sasaran ini dicapai, Barisan Nasional (BN) harus meletakkan sekurang-kurangnya 67 calon daripada kalangan orang muda dan menang pada pilihan raya umum akan datang.

Persoalannya adakah sasaran ini realistik atau hanya retorik?

Jika dikira jumlah ahli parlimen yang berusia bawah 50 tahun pula, ia hanya 28.8 peratus.

Ia jauh berbanding bilangan ahli parlimen di United Kingdom (UK) dan Australia yang mempunyai komposisi ahli parlimen lebih ramai di bawah usia 50 tahun.

DI UK, 47 peratus atau 304 daripada 650 kerusi di House of Commons adalah wakil yang berusia bawah 50 tahun.

Di Australia pula, 75 daripada 150 ahli parlimen di negara terbabit adalah warga berusia bawah 50 tahun, ia mewakli separuh (50 peratus) daripada keseluruhan Dewan Perwakilan.

Di Singapura pula, 42 daripada 92 ahli parlimennya adalah wakil yang berusia bawah 50 tahun. Ini mewakili 46 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi di parlimen.

Bagaimanapun, perlukah parlimen menjadi lebih ‘muda’ untuk memastikan suara perwakilan kekal relevan?

Contohnya di Kanada, kini dihormati dunia sebagai negara yang progresif dan terbuka, terutamanya selepas ia melantik seorang perdana menteri muda dan kabinet yang inklusif.

Tetapi tahukah anda? Kanada mempunyai komposisi ahli parlimen yang lebih ‘tua’ berbanding Malaysia dengan hanya 26.6 peratus (atau 90 daripada 338) ahli parlimennya terdiri daripada wakil yang berusia 50 tahun ke bawah!

MalaysiaMemilih: Mungkinkah lebih ramai ‘KJ’ ditampilkan PRU nanti?


Bagi Exco Pemuda UMNO, Rahman Hussin, beliau percaya BN mempunyai calon boleh menang yang mencukupi untuk capai sasaran 30 peratus anak muda dalam Dewan Rakyat.

“Namun apa yang perlu kita tekankan ialah representasi anak muda dalam parlimen perlu dilakukan secara holistik dan bukan sekadar simbolik atau hanya sebagai token,” tegas Rahman.

Pendapat beliau, ada asasnya memandangkan strategi mencalonkan orang muda juga tidak semestinya membawa kepada kemenangan.

Sebagai contoh, pada PRU ke-13 lalu, BN mencalonkan 80 peratus muka baharu di Selangor. Dua pertiga daripada calon BN di Pulau Pinang juga muka baharu.

Malangnya, strategi berkenaan gagal untuk merampas semula dua negeri berkenaan.

Calon termuda BN ketika itu, Daniel Wa Wai How, yang bertanding di DUN Keranji di Perak tewas kepada wakil DAP.

Seorang lagi calon muda, Chew Hoong Ling dari MCA juga tewas di Petaling Jaya Utara di tangan Tony Pua.

Bagi penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr. Jeniri Amir apa yang penting ketika ini ialah iltizam politik pucuk pimpinan untuk membuat perubahan.

“Kita perlu menggantikan wakil-wakil rakyat yang sudah lama berada di Parlimen tetapi tiada sumbangan. Kita juga memerlukan wakil yang boleh mewakili setiap peringkat umur, baik 20-an, 30an, 40an hinggalah mereka yang berpengalaman.”

“Kita memerlukan bukan sahaja anak muda dari segi usia, tetapi wakil yang memahami aspirasi dan kehendak supaya suara mereka dapat dibawa ke Parlimen,” katanya.

Berdasarkan statistik jumlah pengundi pada suku tahun ­kedua 2016, pengundi muda berusia antara 21 hingga 29 tahun berjumlah 1.9 juta orang.

Kategori umur 30 hingga 39 tahun pula seba­nyak 3.2 juta, dengan keseluruhan pengundi muda 5.1 juta daripada 13.6 juta pengundi seluruh negara.