Usaha menangani penyebaran dan penggunaan pornografi yang semakin menjadi barah di negara ini memerlukan satu kerjasama kolektif segenap lapisan masyarakat.

Menyedari parahnya masalah yang sedang merebak dalam masyarakat itu, inisiatif 'Mothers Against Pornography' yang merupakan satu penggerak kesedaran keburukan pornografi mula mendapat perhatian orang ramai dan bukan sahaja golongan ibu sahaja.

Ketua Wanita IKRAM Malaysia, Datin Paduka Che Asmah Ismail percaya kerjasama semua lapisan masyarakat dapat mengekang gejala pornografi itu daripada mendominasi minda mereka yang mudah terpengaruh.

"Penjenamaan semula 'Mothers Against Pornography' kepada 'Malaysians Against Pornography' adalah bertepatan dengan aspirasi perjuangan secara kolektif warga Malaysia untuk menyelamatkan generasi masa depan dari ancaman (pornografi) yang cukup merbahaya ini," ujarnya dengan penuh optimis.

"Kami memerlukan intervensi daripada pihak kerajaan kerana masalah ini mengancam kestabilan institusi keluarga," tambahnya, berkait dengan pelbagai jenayah seksual yang semakin meningkat di negara ini.

Bagi Pengarah Jabatan Pelaksanaan Jangkauan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Encik Jussly Elis, pengedar video pornografi akan dikenakan tindakan sewajarnya.

INFOGRAFIK: Statistik kes liwat melibatkan mangsa bawah 16 tahun

"Bagi mereka yang ditangkap menyebarkan video pornografi, hukuman yang dikenakan termasuk denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dengan nada tegas.

Dalam pada itu, 'Love Myself Campaign' peringkat kebangsaan merupakan kempen IKRAM Malaysia bagi meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap keburukan pornografi.

Antara aktiviti kempen termasuk kursus atas talian merangkumi rahsia peribadi, sentuhan selamat dan tidak selamat, penggunaan media sosial secara bijak, dan langkah menangani ketagihan pornografi.

Amat membimbangkan apabila statistik Google Trends melaporkan Malaysia menduduki tangga kelapan bagi negara paling banyak pencari maklumat berkaitan pornografi.

Bukan itu sahaja, lebih membimbangkan apabila pornografi internet ini bukan sekadar mengancam individu dewasa malah juga melibatkan kanak-kanak.

Berdasarkan maklumat Interpol, Jabatan Penyiasatan Seksual Bukit Aman melaporkan Malaysia adalah antara negara yang mempunyai kadar jenayah pornografi tertinggi membabitkan kanak-kanak.