Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Malim gunung Kinabalu terima bayaran daripada kerajaan negeri Sabah

Malim gunung Kinabalu terima bayaran daripada kerajaan negeri Sabah
Malim gunung dan pemandu pelancong di Sabah yang terjejas ekoran PKP dibantu. --fotoBERNAMA/Hiasan
KOTA KINABALU: Seramai 231 malim gunung Kinabalu yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menerima bayaran RM300 setiap seorang bagi membantu menyara kehidupan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata bayaran telah dimasukkan ke dalam akaun penerima.

"Pembayaran dilakukan oleh Perbendaharaan Negeri Sabah, bayaran untuk 82 lagi malim gunung dan 'porter' di Kinabalu sedang diproses, dan mereka akan menerima wang dalam tempoh satu atau dua hari.

"Untuk baki 102 malim gunung Kinabalu yang tidak mempunyai akaun bank, Lembaga Taman-taman Sabah akan membuat pembayaran pada tarikh yang akan ditentukan kemudian sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR)," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Liew yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata 1,038 pemandu pelancong bebas juga telah menerima pembayaran secara terus ke akaun bank masing-masing pada Khamis, melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

Beliau berkata bagi tujuan itu, kementerian telah menerima peruntukan RM311,400 daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri.
Jumlah itu akan disalurkan ke STB sebagai pembayaran balik bayaran yang dibuat kepada pemandu pelancong bebas berkenaan.

-- BERNAMA