Tutup

Malindo Air guna perkhidmatan CyberSecurity bantu isu kebocoran data

Malindo Air guna perkhidmatan CyberSecurity bantu isu kebocoran data
Bercakap kepada pemberita pada 'Cyber Security Malaysia Job Fair' di Kuala Lumpur semalam, Mohd Azumi berkata, mereka yang terlibat dalam kebocoran data boleh membuat laporan kepada SKMM atau polis bagi membolehkan tindakan diambil. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Malindo Air telah menggunakan khidmat kepakaran CyberSecurity Malaysia dalam membantu syarikat itu mengatasi masalah kebocoran data melibatkan maklumat peribadi penumpangnya, kata Pengerusi CyberSecurity Jen (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed.

"Malindo telah menggunakan khidmat CyberSecurity Malaysia untuk membantu, tetapi biarlah mereka buat siasatan mereka, kita tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa siasatan analitikal dan tanpa membuktikannya secara forensik," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pameran Kerjaya Keselamatan Siber di sini hari ini.
Minggu lepas, Malindo Air memaklumkan mengenai kebocoran maklumat tersebut, selepas syarikat keselamatan siber berpusat di Moscow, Kaspersky Lab berkata dalam satu laporan mengenai maklumat kira-kira 30 juta penumpang Malindo dan sebuah lagi anak syarikat Lion Group, Thai Lion Air telah dimuat naik ke dalam satu forum dalam talian.

BACA: Data jutaan penumpang Malindo Air bocor
Pada Isnin, syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan berkata kebocoran maklumat tersebut telah dapat dibendung.

Hasil siasatan mendapati, dua bekas pekerja syarikat penyedia servis e-dagang, GoQuo (M) Sdn Bhd di pusat pembangunan mereka di India, telah melakukan salah laku dan mencuri data peribadi pelanggan mereka. Perkara itu telah dilaporkan kepada pihak polis di kedua-dua negara, Malaysia dan India.

Ketika ditanya mengenai apakah tindakan yang dilakukan selepas berlakunya kebocoran data, Mohd Azumi berkata, mereka yang terlibat boleh membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ataupun pihak polis, kerana ada undang-undang berkaitan, membolehkan tindakan diambil terhadap pelakunya.

"CyberSecurity Malaysia hanya membantu dalam memberikan khidmat bantuan atas kepakaran yang kami ada," katanya.

-- BERNAMA