VOKALIS utama kumpulan Exists, Mamat sudah dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis sekitar pukul 4.30 petang Selasa.

Menemani Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara ialah Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim.

Menurut Shirazdeen, sejurus dibebaskan daripada reman, Mamat terus pulang ke rumahnya sebelum penyanyi itu dibawa ke Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah, keadaan Mamat okey. Saya belum sempat berbual panjang dengan dia. Kami akan berangkat ke Kuala Lumpur petang ini juga," kata Shirazdeen kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Pada Ahad malam, Mamat yang bakal mengadakan konsert reunion bersama anggota asal kumpulan Exists pada 28 September ini ditahan oleh polis di Taman Perling, Johor.

Penahanan Mamat, 41, itu difahamkan ada kaitan dengan kesalahan dadah semasa menunggang motosikal bersama seorang rakannya.

Difahamkan, Mamat dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum polis menemui serbuk putih dipercayai syabu seberat seberat kira-kira 0.42g yang disimpan dalam dompetnya.

Hasil ujian air kencing yang dibuat ke atas mereka juga mendapati kedua-dua suspek positif

Sementara itu, Shirazdeen juga berkata, selaku penganjur konsert reunion, Shiraz Projects sedang merancang untuk mengundang wartawan dalam sidang media bersama Mamat.

"Kami ada rancangan untuk buat sidang media untuk menjelaskan situasi sebenar selain memaklumkan mengenai perkembangan konsert Exists Reunion," kata Shirazdeen lagi.

BACA: Mamat Exists ditahan polis di Johor Bahru semalam