Pengarah terkemuka tanah air, Mohamad Mohamad Khalid atau lebih mesra dipanggil Mamat Khalid dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak.

Bagaimanapun, anak kedua beliau, Sara Khalid, 28, berkata bapanya telah menunjukkan reaksi positif selepas di masukkan ke hospital semalam.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan Papa, sahabat-sahabat jauh dan dekat, saudara-mara dan peminat-peminat Papa.

“Dia sangat disayangi dan kasih-sayang orang sekeliling Papa yang jadikan Papa kuat.

“Betapa besarnya rahmat Tuhan kepada Papa, dikelilingi oleh orang yang baik dan sayangkan Papa seperti darah daging sendiri,” katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI.

Beliau yang mewakili seluruh ahli keluarga merakamkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan bapanya.

Sara pada masa sama turut berharap agar doa terus dititip kepada bapanya.

Mohamad sebelum ini telah beberapa kali dimasukkan ke hospitl dan mendapatkan rawatan intensif.