Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad mempersoalkan ke mana perginya wang berjumlah RM4.3 bilion hasil penyenaraian penyenaraian Felda Global Ventures (FGV).

Sinar Harian melaporkan Shahir yang juga ahli parlimen Johor Bahru berkata Felda memperolehi RM6 bilion hasil penyenaraian FGV di Bursa Malaysia.

"Felda mendapat RM6 bilion hasil penyenaraian FGV iaitu harta bisnes Felda. Daripada jumlah itu, RM1.7 bilion kita belanjakan sebagai durian runtuh.

"Kita sampaikan kepada peneroka dan keluarga mereka iaitu RM15,000 satu keluarga dan ada bakinya RM4.3 bilion lagi.

"Jadi RM4.3 bilion ini mana pergi? Ini agaknya saya rasa mengecewakan peneroka yang dah begitu rapat dengan Felda...begitu sanjung peranan Felda...saya rasa mereka pun kecewa," katanya kepada pemberita pada Program Gotong Royong Cegah Wabak Denggi di Pangsapuri Taman Larkin Idaman A, di sini, pada Sabtu.

Shahrir juga dilaporkan berkata, di bawah laporan Ketua Audit Negara, kira-kira RM200 juta dibelanjakan dengan pelbagai program yang dibuat.

"Nak dapatkan balik, kita akan berusaha. Tapi tak mungkin kita dapat balik RM200 juta pasal sudah habis. Dilaporkan dibuat macam-macam tanpa kelulusan, protokol atau keadaan yang sepatutnya.

"Sebab itu tugas saya ialah cuba betulkan kedudukan kewangan Felda. Duit bukan tiada, tapi ialah...mungkin disalah belanja," katanya.

Shahrir menegaskan, menjadi tanggungjawab beliau dan pengurusan Felda pada hari ini untuk mengembalikan keyakinan di kalangan pengurusan kakitangan lembaga tersebut.

"Kalau sudah yakin.. kita tahu tugas kita.. kita buat kerja kita sebagai pengurusan, peneroka pun akan kembali balik kepada kita. Percaya balik kepada Felda.

"Ia bermula daripada dalam iaitu daripada Felda itu sendiri. Jadi itu tugas saya sebagai pengerusi Felda," katanya.