Mandor kelapa sawit cedera dirempuh gajah liar di Mersing

Mandor kelapa sawit cedera dirempuh gajah liar di Mersing
Mohd Hanafi cedera setelah dirempuh gajah liar kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam di dalam kawasan ladang dekat Felda Nitar 2 sebelum dikejarkan ke Hospital Mersing. --fotoBERNAMA
MERSING: Seorang mandor atau penyelia ladang sawit cedera setelah dirempuh gajah liar kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi di dalam kawasan ladang dekat Felda Nitar 2, di sini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Salman Saaban berkata dalam kejadian berkenaan, mangsa Mohd Hanafi Mohd Isa, 30, cedera pada bahagian badan dan kini masih berada di Hospital Mersing untuk rawatan lanjut dan menjalani imbasan X-ray.

"Sejurus menerima maklumat mengenai kejadian terbabit, seramai empat pegawai Perhilitan Daerah Mersing telah bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di tempat kejadian pukul 2 petang, mangsa dari Blok 5B Felda Nitar 2 telah pun dibawa keluar dengan menaiki Hilux dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk dikejarkan ke Hospital Mersing," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa. 

Salman berkata siasatan awal pihaknya mendapati mangsa dikatakan telah pergi ke lokasi kejadian seorang diri selepas mendapat tahu tentang kemasukan gajah ke kawasan berkenaan.

"Kita dapati laluan ke lokasi kejadian adalah bersemak dan sukar untuk melihat kehadiran gajah selain sukar untuk menyelamatkan diri jika haiwan berkenaan menyerang.

"Berdasarkan kesan laluan dan najis yang ditemui, dianggarkan terdapat dua ekor gajah namun mamalia itu tidak kelihatan ketika pegawai berkenaan tiba di situ," katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan Perhilitan akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa di samping mengambil tindakan tembak halau di lokasi kejadian bagi menghalau gajah-gajah berkenaan jika masih berada di sekitar kawasan berkenaan.

Pada masa sama, beliau menasihatkan agar ladang-ladang dapat dibersihkan daripada semak belukar dan orang ramai turut dinasihatkan agar jangan mengambil tindakan bersendirian kerana ia akan menimbulkan risiko yang tinggi dan sangat berbahaya kepada diri sendiri.

"Selain itu, sistem pagar elektrik jika ada hendaklah diselenggara selalu bagi memastikan ianya berfungsi dengan baik," katanya.

-- BERNAMA