Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat negara ini bahawa jurang kemiskinan dan perpecahan antara kaum akan menyebabkan Malaysia tidak mencapai status negara maju.

Katanya, keadaan tersebut amat tidak sihat kerana ia boleh mencetuskan huru-hara antara pelbagai kaum di negara ini.

Tegasnya, jika keadaan itu berlaku, maka negara akan bertambah mundur.

“Sebab itu, Wawasan Kemakmuran Bersama ini menjadi satu dasar yang amat penting kerana tujuannya adalah untuk kita kurangkan jarak antara yang miskin dan yang kaya, antara satu kaum dengan kaum yang lain.

“Untuk ini, kerajaan akan berusaha, tetapi yang lebih utama adalah mereka yang miskin perlulah sambut cara-cara yang dijadualkan dan cadangan kerajaan untuk menolong pihak yang miskin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Perdana Putra di sini, pagi ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Wartha Moorthy.

Tegas Dr Mahathir, kemiskinan tidak boleh diatasi jika golongan itu hanya menunggu bantuan kewangan yang diberikan kerajaan.

Sebaliknya, beliau berkata, kumpulan berkenaan perlu berusaha keras bagi menambah pendapatan mereka dan keluar daripada kadar kemiskinan.

“Sebenarnya mereka yang miskin boleh diperkayakan, ditambah pendapatan mereka dengan cara mereka berusaha.

“Mereka mempunyai masa yang cukup untuk berusaha, kalau daripada satu punca mereka tidak dapat mengatasi masalah mereka, kita akan tentukan ada punca lain yang memberi pendapatan kepada mereka.

“Sesungguhnya, mereka yang miskin mempunyai masa yang panjang untuk melakukan lain-lain kerja.

“Pihak kerajaan akan mengenal pasti apa kerja-kerja lain, perniagaan lain perusahaan lain yang boleh diusahakan oleh pihak yang miskin,” kata Dr Mahathir.

Tambah Perdana Menteri, suatu masa dahulu Malaysia berada di hadapan berbanding beberapa negara-negara Asia lain.

Dengan mengambil contoh Korea Selatan dan Jepun, Dr Mahathir berkata kedua-dua negara tersebut kini lebih maju berbanding Malaysia selepas mengalami revolusi.

“Kita bernasib baik kerana di Malaysia ini tiada revolusi yang berlaku walaupun ada percubaan untuk menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat pada mulanya.

"Tetapi, selepas itu, kita dapati negara kita aman dan tidak ada lagi usaha menjatuhkan kerajaan secara ganas.

“Memang secara demokrasi kita boleh menukar kerajaan tetapi tidak berlaku keganasan untuk mendirikan kerajaan yang baharu,” katanya.