Seramai 970 mangsa banjir dipindahkan di Kelantan dan 25 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka ekoran hujan lebat dan berterusan sejak tengah malam tadi (Sabtu).

Jumlah mangsa itu membabitkan 268 keluarga yang ditempatkan di 25 PPS di lima daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang dan Pasir Puteh.

Mengikut aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS di Pasir Mas dibuka sejak malam tadi berikutan paras air Sungai Golok meningkat dan penduduk di sekitar Rantau Panjang dinaiki air.

Daerah Pasir Mas mencatat jumlah mangsa paling tinggi, seramai 450 mangsa daripada 127 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS.

Jumlah mangsa di Tanah Merah juga meningkat kepada 181 orang daripada 47 keluarga berbanding 155 mangsa malam tadi.

Mangsa banjir di Machang juga turut meningkat seramai 42 mangsa daripada 16 keluarga yang ditempatkan di Sekolag Kebangsaan (SK) Pak Roman dan SK Mata Air.

Manakala di Kota Bharu seramai 191 mangsa melibatkan 53 keluarga dan Pasir Puteh seramai 106 mangsa membabitkan 25 keluarga.

Sementara itu, berdasarkan laman web publicinfobanjir.water.gov.my, bacaan air Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya dengan bacaan 10 meter (m).