Rumah tempat berteduh dilanda banjir, bekalan air di pusat pemindahan sementara pula tidak mencukupi.

Itulah nasib malang yang menimpa, Rosmah Sijam, 41, yang mempunyai lapan anak termasuk yang masih kecil dari Kampung Keranjangan yang kini terpaksa berteduh di pusat pemindahan sementara di Dewan Masyarakat Tun Said, di sini.

Kerana masalah yang dihadapi itu, Rosmah meminta pihak berwajib memberikan bekalan makanan dan minuman mencukupi terutamanya keperluan bekalan air mandi supaya meringankan beban mereka sekeluarga khususnya mempunyai anak yang masih kecil

"Dari pagi tadi, kecuali air minumanlah kami dapat, bekalan air untuk keperluan lain kurang pasti sebab air tandas pun tidak ada dan aturlah kelengkapan untuk kami dan budak-budak ini.

"Air untuk mandi dan kegunaan untuk buang air tiada di tandas," katanya yang hanya mampu mengeluh mengenang nasib yang menimpa diri dan keluarganya.

Sementaraitu, lain halnya pula bagi Mohamad Afiq Suhairi, 9, yang baru sahaja berkhatan seminggu yang lalu. Pengalaman menghabiskan tempoh berpantangnya di pusat pemindahan itu memberikan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

"Seronok di sini sebab ramai kawan," katanya ringkas.

Rosmah dan Mohamad Afiq merupakan antara 120 mangsa banjir daripada 26 kampung yang terjejas akibat banjir di daerah ini.

Antara antara kampung yang terbabit adalah Kampung Donggoi, Kampung Marajah, Kampung Gunring, Kampung Sadok-Sadok, Kampung Sembirai, Kampung Lingkodon, Kampung Linau, Kampung Lebak Moyoh, Kampung Bobot, Kampung Suang Punggur, Kampung Menunggui, Kampung Song-Song, Kampung Sangkir, Kampung Karang Benai, Kampung Bota Bungan dan Kampung Kota Belud.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam berkata, setakat ini bantuan bekalan makanan dan minuman di pusat pemidahan sementara yang di buka dijangka mencukupi permintaan mangsa banjir.

"Setakat ini, Alhamdulillah bantuan masih lagi mencukupi walapun dalam keadaan yang terdesak, Insya Allah kita dapat atasi.

"Bekalan air biasanya bila keadaan sebegini dia akan putus-putus dan setakat inipun kita sedang usahakan untuk memulihkan bekalan air bersih," katanya kepada Astro AWANI.