Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 1,022 mangsa setakat jam 12 tengah hari ini.

Kesemua mangsa yang kini ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) itu terdiri daripada 259 keluarga dari 16 kampung di Rompin dan Temerloh.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata Temerloh lokasi terbaharu dilanda banjir hari ini selepas 13 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Belia Kampung Paya Luas, pagi tadi.

"Di Rompin, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pianggu merekod mangsa paling tinggi iaitu seramai 284 mangsa dengan 81 keluarga, diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Sarang Tiong (208 mangsa, 44 keluarga), Dewan Kampung Setajam (187 mangsa, 51 keluarga); Balai Raya Kampung Rekoh (119 mangsa, 32 keluarga) dan Dewan Angkat Berat (44 mangsa, 11 keluarga).

"Selain itu, PPS Balai Kampung Sepayang (40 mangsa, 10 keluarga); Balai Raya Bukit Lepas (33 mangsa, lapan keluarga), Dewan Teluk Gading (28 mangsa, sembilan keluarga), Balai Raya Kampung Janglau (34 mangsa, enam keluarga) dan Balai Raya Lintang (26 mangsa, empat keluarga)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, enam jalan telah ditutup akibat dinaiki air iaitu Jalan Teja, Jalan Redan, Jalan Kasturi, Jalan Kempas dan Jalan Jati yang kesemuanya terletak di Kampung Kasing serta Jalan Kurnia-Bukit Lepas.

"Kita meminta agar pengguna jalan raya menggunakan jalan alternatif dan mengelakkan melalui jalan tersebut," katanya.

Selain itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya peka dengan perkembangan semasa banjir dan mematuhi arahan sekiranya diarahkan berpindah.