Selepas sepuluh hari bertarung nyawa, seorang wanita yang dipercayai mangsa keracunan akibat puding buih yang dibeli secara dalam talian meninggal dunia, pagi Rabu.

Wanita berusia 25 tahun yang berasal dari Marang itu dilaporkan maut susulan kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis kira-kira pukul 10.40 pagi, di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, Jabatan Kesihatan yang melakukan siasatan telah mengenal pasti punca kejadian.

"Kita juga telah mengambil tindakan terhadap peniaga tersebut. Cuma saya menasihati peniaga makanan supaya menjaga kesihatan termasuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

"Sebab itu kita ada pemeriksaan kesihatan dan sebagainya bagi memastikan tidak ada sebarang penyakit kedua daripada makanan yang telah luput tarikh kerana ia melibatkan nyawa. Kita tidak tahu, walaupun penyakit ini biasa tak membawa maut namun benda boleh berlaku, sangat dikesali," katanya di sini, pada Rabu.


Sebelum ini, kira-kira 100 individu membabitkan 20 keluarga mengalami keracunan makanan selepas menikmati puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei lalu.

Sejumlah 77 pesakit menetap di Kuala Terengganu manakala 22 pesakit lain di daerah Marang.

Pun begitu, kesemua mereka telah sembuh dan dibenarkan pulang.

Berdasarkan siasatan awal, telur tamat tempoh yang digunakan untuk membuat puding buih itu dipercayai menyebabkan punca keracunan.