Mangsa letupan gas di tingkat 20 Pangsapuri Green Garden, Jalan Paya Terubong, George Town meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang memaklumkan Lee Kok Eang, 62, meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang ( HPP) kira- kira jam 2 pagi Selasa.

Menurut laporan bedah siasat, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas melecur di seluruh anggota badan.

Kok Eang sebelum ini melecur hampir 80 peratus dalam kejadian letupan gas pada jam 8.16 pagi Ahad lepas.

BACA: Dinding rumah runtuh akibat letupan, wanita warga emas cedera

Kejadian berpunca akibat kebocoran gas dan percikan api dari pemetik api mangsa yang ketika itu mahu menyalakan api rokoknya.

Akibat letupan itu, mangsa melecur teruk di badan manakala, anak lelaki, menantu dan cucu mangsa tidak mengalami kecederaan.