Keadaan tiga orang mangsa nahas pesawat Beechcraft Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Pangkalan TUDM Butterworth pada bulan lepas kini dilapor dalam keadaan stabil.

Seorang daripada mereka telah dibenar pulang untuk berehat di rumah manakala dua orang lagi masih dirawat di hospital, masing-masing di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.

"Keadaan anak saya Lt Hamdi Ahmad Hanafi beransur pulih dan dia kini berehat di rumah. Saya lega dia sudah boleh makan dan minum seperti biasa," kata Ahmad Hanafi Talib, 63, bapa kepada pegawai TUDM itu.

BACA: Siasatan nahas pesawat TUDM ambil masa beberapa minggu

BACA: Siasatan nahas pesawat Beechcraft TUDM menjurus kepada faktor teknikal, kemanusiaan


Nahas pada 21 Dis lepas itu mengorbankan juruterbang Mejar C. Kayamboo, 45, manakala tiga yang lain cedera iaitu Hamdi, 26; pembantu juruterbang Kapten Wai Lik, 26; dan Sjn Udara Mohd Sofi Azizan, 29.

Ketiga-tiga waris mangsa termasuk isteri Mejar C. Kayamboo, S.Usha menerima sumbangan daripada Ketua Menteri, Lim Guan Eng hari ini.

Sementara itu Wai Kam Sui, 60, bapa kepada Wai Lik berharap anaknya dapat pulang ke Kuala Lumpur untuk menyambut Tahun Baharu Cina nanti.

"Wai Lik kini sudah boleh makan dan bercakap dan saya difahamkan oleh doktor pakar Hospital Pulau Pinang bahawa dia sudah 60 peratus pulih dan akan membuat pembedahan kulit minggu ini," katanya.

Syukriah Azizan iaitu adik kepada Mohd Sofi pula berkata abangnya yang patah tulang kaki kanan kini semakin stabil dan dijangka menjalani pembedahan untuk memasukkan besi ke dalam kakinya dalam tempoh terdekat.

Pegawai Memerintah 16 Skuadron, Lt Kol Izhar Zulhisham Ibrahim yang turut menghadiri majlis tersebut berkata siasatan sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

"Berdasarkan pelbagai bukti yang dapat dikumpulkan setakat ini, siasatan kini menjurus kepada faktor teknikal dan aspek kemanusiaan," katanya.

-- BERNAMA