Mangsa pertama kejadian bot karam di Sungai Kampung Kelantan, dekat sini ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) setelah dipercayai lemas sejak semalam.

Mangsa Amirul Asyraff Abdullah, 24, yang dilaporkan hilang sejak petang Sabtu ditemui pada jarak lima meter dari kawasan disyaki lemas.

Amirul Asyraff merupakan salah seorang daripada dua mangsa yang keluar memancing namun berakhir dengan tragedi berikutan bot mereka karam di perairan sungai terbabit.

Seorang mangsa yang masih hilang dikenali Mohd Faliq Fadhil, 26.

BACA: Dua dikhuatiri hilang semasa memancing di Lenggong

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong berkata, sebelum ini pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar 8.34 malam Sabtu.

"Kami dimaklumkan oleh pihak polis bahawa dua lelaki telah menyewa bot untuk aktiviti memancing namun pengusaha bot mendapat maklumat bahawa bot itu dilaporkan separuh karam pada tengahari Sabtu.

"Beliau bertindak mencari dua mangsa di sekitar namun gagal menemui sebarang petanda manakala pencarian sekitar 4 petang bersama orang ramai juga tidak berhasil," katanya kepada Astro AWANI di sini.

Jelas jurcakap itu lagi, operasi SAR juga dijalankan melalui surface searching selain berdepan kesukaran memandangkan arus air di sungai berkenaan sangat deras.

Operasi SAR yang disertai Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang ramai masih diteruskan ke radius pencarian 3.5 kilometer bagi mengesan mangsa kedua.